UEC ‘hutang lama’ beberapa pemimpin PH, kata Rais Yatim

 

Kumpulan pelajar sekolah menengah swasta Cina di Selangor.

Bekas menteri Tan Sri Dr Rais Yatim berpendapat adalah bahaya jika kerajaan lebih mengutamakan janji berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ketika banyak lagi janji Pakatan Harapan belum ditunaikan.

Beliau yang secara sah menyertai Bersatu pada 4 Jun lalu itu juga menyarankan kerajaan melakukan pembaharuan terlebih dahulu dalam hal berkaitan isu kos sara hidup rakyat.

“Ada 50 janji dalam manifesto kerajaan dan UEC nampaknya janji yang ke-50 tetapi janji yang ke-50 inilah yang mahu dibawa dan dijadikan nombor satu.

“Ini bahaya. Kalau janji-janji yang di atas tentang misalnya harga barang, minyak ataupun turunkan bayaran tol saya fikir itu cantik.

“Mengapa perkara-perkara itu yang tidak dibuat pembaharuan terlebih dulu? Kenapa UEC, sebabnya UEC adalah ‘hutang lama’ kepada beberapa orang yang ada di dalam pakatan itu,” ujarnya.

Untuk rekod, pengiktirafan terhadap UEC terkandung dalam Janji 50 iaitu “Mengembalikan Wibawa Universiti Awam dan Pengajian Tinggi”

Tan Sri Dr Rais Yatim

Selain mengiktiraf sijil persekolahan swasta yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar itu, terdapat tujuh perkara lain dijanjikan iaitu pendidikan universiti percuma; pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan autonomi kepada Naib Canselor universiti.

Turut dijanjikan penekanan kepada aliran sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); penstrukturan semula pembayaran pinjaman PTPTN; penambahan biasiswa dan pinjaman pelajaran serta meningkatkan peluang pengajian menggunakan Kursus Atas Talian Terbuka Secara Bersepadu (MOOC).

Sehubungan itu, Rais hairan hal berkaitan kepentingan rakyat belum lagi dibincangkan sebaliknya isu pengiktirafan UEC daripada sistem persekolahan persendirian Cina yang timbul.

“Sekarang isu UEC sudah timbul sedangkan isu-isu seperti harga barang, tol, minyak dan lain-lain belum lagi timbul.

“Berbalik kepada hak majoriti orang Melayu yang menjadi penduduk negara ini sebanyak 59 peratus, kepentingan mereka ini haruslah diutamakan.

“Tetapi kerana hak hidup dan yang berkaitan harga minyak, tol dan lain-lain lebih utama maka sejagatkanlah. Itu juga terserah kepada pucuk pimpinan.

“Saya hairan kerana soal harga minyak tidak dibincangkan dan isu tol juga tidak timbul. Kalau dalam isu tol kita sama-sama membayar cukai jalan. Apa jadi kepada cukai jalan yang rakyat bayar, kalau tidak silap saya RM12 bilion setahun.

“Ke mana pergi duit itu? Hal seperti ini mesti muncul sebagai keutamaan,” dipetik daripada wawancara Mingguan Malaysia hari ini.

Tokoh sosio-budaya berkenaan bagaimanapun berkata, sikapnya yang kritis terhadap kerajaan PH berhubung isu tersebut adalah demi yang terbaik untuk rakyat.

“Mengapa juga isu pembinaan kereta api laju dari Singapura ke Kuala Lumpur turut menjadi keutamaan? Mungkin dengan mempersoalkan hal-hal ini, saya tidak akan lama dalam PH.

“Tetapi janganlah kata saya macam ‘katak yang melompat’. Saya jenis manusia yang suka ketengahkan isu.

“Apa yang terbaik untuk rakyat saya mesti sebut. Sejak dulu lagi, apatah lagi sudah masuk usia seven series ketika ini, tidak takut lagilah,” ujarnya lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0