Malaysia Dateline

UEC, Sekolah Vernakular bercanggah dengan aspirasi pendidikan kebangsaan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sepatutnya melayan kedegilan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang terus mendesak kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Bersepadu Kebangsaan (UEC).

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Kamal Shukri Abdullah berkata, ini kerana bukan sahaja kurikulumnya tidak mematuhi piawai kementerian, malah ada fakta yang bercanggah dan salah sama sekali dalam buku teks terbitan mereka untuk pelajar UEC.

Beliau berkata, pihak kementerian sendiri telah menyedari kepincangan sijil tersebut, namun Menteri masih sanggup ‘merestui’ para lulusan UEC walaupun kononnya hanya untuk pengajaran bahasa Mandarin sahaja.

“Sedangkan umum mengetahui bahawa kebanyakan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah tidak terikat untuk mengajar satu mata pelajaran khusus sahaja atas sebab kekurangan tenaga pengajar.

“Mustahil Kementerian mampu memantau sekolah vernakular seluruh negara dan sepanjang masa bagi memastikan syarat tersebut dipatuhi.

“Malah, sentiasa ada lompong yang amat selesa untuk pelanggaran sebarang syarat yang dikenakan. Akhirnya lulus jarum, luluslah kelindan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Kamal juga menyifatkan Menteri seolah-olah sudah mati akal untuk mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Mandarin di sekolah-sekolah.

Walhal katanya, banyak institut pendidikan guru yang boleh ditugaskan untuk melatih guru tanpa melibatkan seorang pun lulusan UEC yang dikelola oleh sebuah badan bukan kerajaan (ngo) yang diragui kualitinya.

Lebih-lebih lagi apabila tanpa pengawasan Lembaga Peperiksaan atau Majlis Peperiksaan Malaysia di sekolah-sekolah kerajaan.

“Bolehkah selepas ini kementerian juga membenarkan mana-mana ngo untuk menerbitkan buku teks dan mengendalikan peperiksaan awam, serta mengambil para lulusannya untuk bertugas di sekolah kerajaan?

“Tentunya tidak adil jika kebenaran tidak diberi sedangkan Dong Zong yang penuh dengan kontroversi dengan sistem pendidikan kebangsaan masih diberi layanan istimewa seolah-olah mereka juga agensi kerajaan.

“Jika faktor undi yang menjadi perkiraan, eloklah diambil pengajaran daripada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini dan banyak juga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang membuktikan bahawa tidak semestinya semua budi dibalas dengan gula. Malah banyak juga tuba yang diberi, seperti perumpamaan menolong anjing tersepit,” katanya lagi

Justeru, beliau meminta agar Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal serta Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dapat bersedia untuk menemui badan-badan bukan kerajaan bersama PLM untuk membincangkan berhubung isu sijil UEC.