UEC: Subjek Sejarah tidak termasuk syarat masuk universiti awam

Teo Nie Ching

Hanya kepujian Bahasa Melayu diperlukan untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Wakil rakyat DAP yang menamatkan pendidikan sekolah menengah di Sekolah Menengah Cina, Batu Pahat, Johor itu berkata, syarat kepujian Bahasa Melayu tersebut tidak termasuk subjek Sejarah atau mata pelajaran lain.

“Sila rujuk manifesto PH, pelajar cuma perlu dapat kepujian Bahasa Melayu sebagai syarat untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil UEC untuk masuk IPTA.

“Subjek Sejarah tidak termasuk, hanya kepujian dalam Bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Nie Ching berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa bahawa sijil UEC belum boleh diiktiraf kerana tidak selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan sekali gus bercanggah dengan Akta Pelajaran.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, isu utama dalam pengiktirafan UEC ini ialah kurikulum Bahasa Melayu dan Sejarah yang kini diguna pakai masih belum setara dengan kurikulum kebangsaan yang digunakan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, Annuar berpendapat isu tersebut boleh diselesaikan kerana SMPC wujud secara sah di bawah Perlembagaan Negara.

Beliau mencadangkan tiga jalan penyelesaian berhubung kemelut ini iaitu, pengiktirafan bersyarat iaitu sijil UEC selain kepujian Bahasa Melayu perlu juga lulus Sejarah dalam SPM; pengiktirafan sepenuhnya dengan Lembaga Peperiksaan dan Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong) serta membenarkan pelajar mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Kertas Julai.

Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam satu kenyataan bersama pada 13 Julai lalu mendakwa mata pelajaran Sejarah dalam UEC mengandungi 57.36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia.

Dinasti Ming

Walau bagaimanapun, subjek Sejarah UEC dikatakan lebih menonjolkan kewujudan hubungan Melaka dengan pengaruh Dinasti Ming (1368–1644) bukannya menyentuh tentang kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dalam pentadbiran dan perdagangan seperti sukatan kurikulum kebangsaan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Saleeh Rahamad pula dilapor berkata, terdapat sebuah buku khusus menerangkan sejarah negara China secara terperinci manakala sejarah Malaysia hanya disentuh sedikit dan dirangkum dalam tajuk Malaysia dan Negara-Negara Jiran.

Pengiktirafan UEC mendapat bantahan banyak pihak termasuk daripada ahli akademik, pertubuhan penulis, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang kerana tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.

UEC dikendalikan Dong Zong termasuk menyusun silibus dalam buku teks Sejarah sendiri tidak seperti SPM dan STPM yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Terdapat 645,699 orang lepasan UEC dilahirkan sejak diperkenal pada 1975 dengan negara Taiwan menjadi pilihan popular untuk mereka melanjutkan pengajian tinggi.

Universiti Kebangsaan Taiwan dan Universiti Perubatan Taiwan antara universiti yang mengiktiraf UEC yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama itu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote