UEM Edgenta guna teknologi terbaharu untuk pengurusan lebuh raya

UEM Edgenta guna teknologi terbaharu untuk pengurusan lebuh raya

UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) sedang giat menggunakan pelbagai teknologi termaju, seperti Sistem Pengurusan Aset Jalan Raya (RAMS) bagi pengurusan lebuh raya yang lebih baik.

Menurut syarikat itu, RAM adalah penyelesaian generasi akan datang yang digunakan untuk pengurusan dan pengoptimuman aset lebuh raya.

“Kesemua lebuh raya dan jalan raya dalam negara yang diuruskan oleh kami yang berjumlah hampir 2,500 kilometer, sekarang ini menggunakan sistem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAMS bertindak sebagai pangkalan data peralatan perancangan yang menyimpan dan membentangkan maklumat data jalan termasuk pelan penyelenggaraan jalan raya berjangka pendek dan panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UEM Edgenta Datuk Azmir Merican berkata syarikat telah membelanjakan lebih RM100 juta dalam perbelanjaan modal bagi tempoh tiga tahun untuk tujuan mekanisasi serta automasi dan memperkenalkan proses-proses baharu bagi memperbaiki perkhidmatannya.

“Daripada meneruskan penyelenggaraan mengikuti kaedah konvensional, data dan maklumat daripada RAMS membolehkan kami membuat keputusan tepat pada masa.

“RAMS membolehkan kami membuat sasaran untuk mengurangkan jumlah kos penyelenggaraan lebuh raya dan pada masa yang sama memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk pengguna,” katanya.

— BERNAMA