Malaysia Dateline

Jugah gesa sekolah daif di Lubok Antu diberi keutamaan

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) memberi keutamaan terhadap penyelesaian masalah dan kesulitan yang dihadapi sekolah-sekolah daif di kawasan Lubok Antu.

Katanya, terdapat beberapa sekolah dalam kawasan Lubok Antu amat memerlukan tindakan segera berikutan terlalu usang dan boleh mendatangkan musibah kepada pelajar dan guru.

“Kita bukan meminta semuanya sempurna tetapi setidak-tidaknya berilah keselesaan untuk anak-anak di luar bandar ini supaya minda mereka mampu berkembang positif tanpa tekanan sekali gus belajar dalam keadaan kondusif walaupun tidak seperti sekolah dalam kawasan bandar, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuching hari ini.

Menurut Jugah, ketika ini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkelili amat terdesak memerlukan bilik kelas untuk sesi pembelajaran.

Katanya, keadaan sekolah berkenaan telahpun disaksikan sendiri oleh pegawai KPM yang telah membuat lawatan pada 20 Februari lalu susulan aduan yang dibuat beliau.

“Sekolah ini begitu memerlukan satu blok dengan 11 unit kelas memandangkan sekarang pelajar -pelajar ditempatkan di bawah kuarters guru untuk menjalani sesi pembelajaran,” tegasnya.

Tambah beliau, sekolah lain dalam kawasan Parlimen Lubok Antu yang perlu diambil tindakan segera ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, SK Nanga Menjuau,SK Nanga Tibu, SK Ulu Lemanak, SK Ulu Engkari dan SK Entalau.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kerajaan pusat dapat membina kemudahan infrastruktur jalan raya yang menghubungkan Aiman Resort Batang Ai ke Nanga Delok serta menaiktaraf jalan Ulu Skrang.

Jelasnya, pembinaan jalan itu akan dapat merubah sistem pengankutan di Lingkaran Empangan Batang Ai menjadi lebih mudah dan pantas.

“Jalan raya ini nanti akan menjadi jalan alternatif utama kepada keseluruhan penduduk di Daerah Lubok Antu yang berada di Lingkaran Empangan Batang Ai.

“Di samping itu, kemudahan jalan raya tersebut bakal memainkan peranan penting untuk melonjak peluang sosioekonomi kepada penduduk setempat baik yang menetap di kawasan hulu mahupun hiliran Empangan Batang Ai, ” ujanya.

Justeru, katanya dengan peruntukan sebanyak RM224 juta bagi pembangunan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa di Sarawak, kawasan Lubok Antu tidak akan ketinggalan mendapat imbuhan berkenaan sekali gus memberi manfaat dan feadah kepada seramai 145,000 penduduk nanti.