Malaysia Dateline

Kelantan ugut PKP semula: Jangan hukum bila ada masalah, bantulah kami

Tindakan Kerajaan Pas Kelantan yang mengugut untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula atas alasan rakyat negeri ini degil untuk mematuhi SOP dikesali oleh komuniti peniaga di sekitar Kota Bharu.

Bagi mereka sikap ini lahir akibat dari pemikiran pemimpin kerajaan negeri yang lebih suka menghukum rakyat berbanding dengan membantu rakyat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Farhan dan Azhar...dua peniaga Kelantan yang kesal dengan ugutan kerajaan negeri.
Farhan dan Azhar…dua peniaga Kelantan yang kesal dengan ugutan kerajaan negeri.

Menurut Farhan Mohamad (gambar kiri), pengusaha bengkel automotif di tengah bandar Kota Bharu, beliau melihat tindakan Kerajaan Pas Kelantan yang mahu laksana PKP semula ke atas negeri ini sebagai suatu ugutan yang akhirnya akan menyusahkan rakyat seluruhnya.

Pemilik bengkel motosikal itu juga berkata, kesan perlaksanaan PKP sebelum ini pun masih lagi terasa kerana semua pihak turut menerima kesan buruk akibat kejatuhan ekonomi.

“Masih ramai pelanggan yang belum bayar hutang baiki motor di kedai, sedangkan kita terpaksa pusing modal niaga setiap hari untuk terus beroperasi dan bayar pelbagai bil serta tanggungan lain, jadi bila Kerajaan Pas Kelantan ugut nak buat PKP semula tanpa langsung pedulikan nasib rakyat yang susah tu amat kita kesali,”ujar beliau.

Kerajaan Pas Kelantan juga dianggap bersikap angkuh dan sombong, dan melayan rakyat bagaikan banduan di penjara, apabila cuba melaksanakan sesuatu tindakan tanpa menghiraukan kesannya kepada periuk nasi rakyat.

Azhar Zaki (gambar atas kanan), seorang pengusaha restoran waktu malam di tengah bandar Kota Bharu ketika ditemui berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah mengambil kira pandangan dari komuniti peniaga selaku stakeholder yang turut ada peranan dalam masyarakat di negeri ini, ketika mahu melaksanakan sesuatu tindakan seperti PKP ini.

Walaupun Kelantan masih tidak melaksanakan PKP dan kini hanya berstatus PKPB, namun ugutan dan ancaman dari Kerajaan Pas Kelantan untuk menguatkuasakan PKP itu dilihat sebagai suatu manifestasi keangkuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan dasar Islam kononnya.

“Tidak sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang mengaku Islam ini bersikap bekeng dan bengis pada rakyat, tuduh rakyat degil dan terus ugut mahu buat PKP.

“Tengok dulu kawasan mana yang teruk Covid 19, buat PKP di kawasan tertentu cukuplah, usah diugut dan buat rakyat macam banduan dalam penjara,” keluh pengusaha restoran itu ketika ditemubual Malaysia Dateline.

Dua hari lepas, Kerajaan negeri Kelantan membuat ugutan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula di negeri itu jika kes Covid-19 terus meningkat akibat kegagalan rakyat mematuhi SOP.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin, berkata kes Covid-19 di Kelantan mencatatkan peningkatan ketara sejak beberapa hari lalu selain wujud beberapa kluster baharu.

Beliau berkata, nilai kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan juga adalah tertinggi di negara ini iaitu 1.19 dan keadaan itu agak membimbangkan.