Malaysia Dateline

Ugut mengugut PN-Umno: Mahiaddin dah macam ketua ‘gangster’

Adegan ugut mengugut antara dua parti yang membentuk kerajaan Persekutuan iaitu Umno dan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai hal yang memalukan, kata Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar.

Baginya, situasi tersebut telah memperlihatkan bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bukan lagi seorang pemimpin, tapi seperti watak ketua sebuah kumpulan ‘gangster’.

Katanya juga, ini menimbulkan kebimbangan kepada kestabilan kerajaan Melaka sekiranya parti-parti tersebut dipilih membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Mahiaddin dah memperlihatkan sebagai watak ketua kumpulan gangster apabila beliau beri respon kepada Shahrir Samad bahawa dia mampu lakukan sesuatu yang boleh meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional di Johor.

“Ini sudah jelas kepada rakyat Melaka. Keadaan porak peranda akan berlaku jika diberikan kerajaan melaka kepada kedua-dua parti ini iaitu BN dan PN.

“Mahiaddin telah hilang sifat dia sebagai seorang Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Bagaimana nak pulihkan negara kalau asyil bergaduh sesama sendiri,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Mahiaddin menyifatkan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad sebagai ‘bodoh’ kerana mencabar Bersatu untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri Johor pimpinan Umno dan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka.

Pengerusi PN itu terus memberi amaran bahawa jika beliau terus dicabar, beliau boleh menekan butang dan “semuanya akan jatuh”.

“Shahrir tak fikir. Dia nak mencabar saya. Saya boleh buat besok. Sekarang (pun) saya boleh tekan button (butang, untuk arahkan Adun Bersatu tarik sokongan),semua jatuh. You want to see that happen? Oh pasal saya takut nak buat begitu?,” katanya.

Susulan itu, Shahrir membalas semula kenyataan tersebut dan mengingatkan Mahiaddin bahawa membubarkan Parlimen atau DUN bukanlah proses semudah ‘menekan butang’.