Malaysia Dateline

Ugut penjawat awam bukti Umno-BN amat bimbang hadapi PRU14

Gertakan keras yang dibuat oleh pemimpin kerajaan terhadap guru-guru dan penjawat awam yang menyokong parti pembangkang ketika ini adalah tidak adil dan bersifat jumud.

Malah desakan agar guru-guru serta penjawat awam terlibat melepaskan jawatan membuktikan kebimbangan yang begitu ketara menjelang pilihan raya umum yang begitu hampir.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Marzuki Yahya ketika ditemui semasa ceramah isu semasa di Pendang, Kedah kelmarin.

Marzuki bersama pimpinan Pakatan Harapan semasa ceramah di Kampung Bukit Jambul, Pendang, Kedah kelmarin.

Menurut beliau lagi, kerajaan kini semakin terdesak apabila mereka menyedari begitu ramai guru-guru dan penjawat awam yang sudah tidak menyokong mereka.

Ekoran risikan dan ‘feed back’ yang mereka terima, membuktikan Umno-BN sedang berada di hujung tanduk.

“Sama ada ‘by hook or by crook’ Umno-BN terpaksa meletakkan perangkap untuk menjerat mana-mana guru maupun penjawat awam yang tidak bersama mereka.

“Namun begitu sekiranya ada guru-guru maupun penjawat awam yang menyokong mereka, tiada sebarang tindakan yang akan diambil kecuali jika menyokong pembangkang.

“Tindakan kerajaan tersebut memperlihatkan ketakutan yang teramat sangat sehinggakan terdapat pemimpin Umno yang sanggup untuk membuat laporan polis mendesak supaya memecat mereka yang bersama pembangkang,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak sepatutnya menjadikan guru-guru dan penjawat awam sebagai pendinding kepada penyamun yang jelas menjadi penyangak.

“Sebagai guru, mereka sedar membiarkan perkara salah berterusan diamalkan, akan melahirkan generasi yang merugikan negara.

Orang ramai yang menghadiri ceramah di Kampung Bukit Jambul, Pendang, Kedah kelmarin.

“Bagi penjawat awam pula, sekiranya membiarkan salah laku maupun salah tadbir berleluasa akan mengakibatkan bercambahnya penyelewengan.

“Membiarkan Najib terus berkuasa akan menjadikan negara lebih parah, rakyat semakin susah dan negara bertambah celaru,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, rakyat negeri Kedah wajib bangkit dan tidak membiarkan diri mereka diperalatkan oleh Umno-BN lagi.

“Kemiskinan semakin melarat di negeri Kedah.

“Kepimpinan kerajaan yang dipimpin Ahmad Bashah lemah dan tidak bermaya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kelemahan tersebut menyebabkan masih ramai lagi rakyat Kedah yang hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” jelasnya.

Oleh kerana itu tambahnya, pilihan raya umum ke-14 yang akan datang harus menjadi penamat kepada hayat Umno-BN.

Sebaliknya Pakatan Harapan sudah bersedia dengan pelbagai agenda perubahan untuk mengubah masa depan dan nasib rakyat yang tidak diberi pembelaan oleh kerajaan Umno dan BN.