Malaysia Dateline

Ugut tembak, pecah pasu bunga masjid, bapa Bob Lokman didenda RM4,000

Seorang warga emas, Lokman Ahmad, 85, dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kota Bharu hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan merosakkan barangan masjid, pada 21 November tahun lalu.

Bapa kepada bekas pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman itu dijatuhi hukuman denda tersebut oleh Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dan memohon maaf.

Tertuduh diwakili peguam, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Lokman mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu kepada Mohd Hanis Sulaiman, 34, ingin menetak dan menembak mangsa, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39, sehingga mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali, jam 11 pagi, pada 21 November tahun lalu.

Ugutan warga emas ini didakwa mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali, November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua di lokasi, tarikh dan masa sama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta masjid iaitu memecahkan pasu bunga serta memotong pokok bunga di kawasan masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Hafiz.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara kurang satu tahun dan sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan memandangkan tertuduh mengaku bersalah dan pada masa sama anak guamnya mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pendengaran.

Bagaimanapun, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk satu pertuduhan dan boleh dipenjara setahun jika gagal membayar denda.