Malaysia Dateline

Ugutan Azmin kepada kerajaan negeri sebahagian ‘normal baru’?

Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat, keputusan kerajaan negeri menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu difahami dan dicari penyelesaian.

Beliau berpendapat peringatan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap kebanyakan kerajaan negeri yang menolak PKPB sebagai ugutan yang tidak wajar berlaku.

“Adakah ini sebahagian dari ‘normal baharu’? Kerajaan Pusat mengugut Kerajaan Negeri. Zaman pintu belakang/tebuk atap, budaya tatakelola yang ‘baharu’?

“Duduk bersama bincang baik-baik. Fahami sebab-sebab keengganan; cari penyelesaian. Itu pun kena ajar ke?

“Ini tidak; main ugut,” tempelak Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Normal baharu merujuk pada kebiasaan pasca serangan wabak Covid-19 yang perlu diamalkan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu dengan mengutamakan jarak sosial dan kebersihan diri pada tahap maksimum serta meninggalkan kelaziman lama seperti mengadakan perhimpunan membabitkan ramai orang.

Terdahulu, Azmin menganggap pendirian beberapa kerajaan negeri terbabit sebagai ingkar.

Bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, PKPB yang telah menjadi dasar kerajaan persekutuan itu telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomi tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan Pusat.

Azmin turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa pihak industri mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang jika sektor ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Lima negeri menolak pelaksanaan PKPB sekali gus enggan membuka semula sektor ekonomi yang mula dikuatkuasa semalam iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan dengan hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Kerajaan negeri Selangor pula memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dengan antaranya pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.

Bagi Kelantan pula, kerajaan negeri Pas itu akan memperhalusi garis panduan PKPB secara lebih mendalam pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri pada lusa.