Ugutan bunuh terhadap Nik Elin bertentangan dengan agama Islam – Pas Selangor

Oleh WAN SITI AMINAH

Pas Selangor berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera melengkapkan siasatan berhubung ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Mohd Shafie Ngah turut menyifatkan ugutan itu sebagai satu perbuatan melampau yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Tampil mengecam ugutan tersebut, pihaknya juga menggesa Peguam Negara untuk membuat pertuduhan di mahkamah sebaik sahaja mendapatkan bukti yang lengkap.

Difahamkan, Nik Elin yang juga ahli Muafakat Nasional itu dijadikan sasaran susulan berjaya mencabar peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan, lapor Berita Harian.

“Ugutan bunuh terhadap Nik Elin Zurina, jika dibuktikan, adalah perbuatan melampau yang bukan sahaja melanggar tatasusila dan akhlak Islam, bahkan melanggar undang-undang negara.

“Sekalipun ia dilakukan atas nama mempertahankan kuasa gubalan negeri dan undang-undang syariah, PAS Selangor mengecam keras perbuatan sedemikian.

“PAS Selangor berharap PDRM menyegerakan siasatan secara menyeluruh dari segenap aspek dan selanjutnya pihak Peguam Negara segera membuat pertuduhan di Mahkamah sekiranya mempunyai bukti yang lengkap,” kata Shafie memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, petisyen yang difailkan Nik Elin dan anaknya iaitu Tengku Yasmin Natasha berjaya mencabar 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Perkara berlaku selepas sembilan panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen itu membatalkan kesahihan peruntukan jenayah syariah negeri tersebut.

Difahamkan, enakmen yang terlibat dalam pembatalan ini digubal oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di mana ia telah bercanggah dengan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak lama kemudian, peguam kelahiran Kelantan itu membuat pendedahan bahawa dirinya menjadi sasaran pelbagai jenis ugutan termasuklah untuk ‘menyembelihnya’.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Allaudeen Abdul Majid memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti individu di sebalik akaun media sosial yang membuat ugutan itu.

Malah setakat ini, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung kes ugutan tersebut di mana salah satu daripadanya sudah dilengkapkan oleh pihak polis.

Baca juga: 3 pemimpin NGO Islam dalam senarai FBI, KDN cuba dapatkan gambaran tepat