Malaysia Dateline

Ugutan Menteri Kewangan tak berasas, dakwa Tun Mahathir

Ugutan Menteri Kewangan dan ahli-ahli Parlimen Kerajaan yang mendakwa penjawat awam tidak akan menerima gaji sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, adalah tidak berasas dan tidak benar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada tahun 1999, belanjawan 2000 yang dibentangkan pada bulan Oktober tidak dapat diteruskan perbahasannya selepas Parlimen dibubar pada bulan berikutnya iaitu November untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10).

Ketika itu menurutnya, bagi menguruskan perbelanjaan kerajaan sementara menunggu kelulusan Belanjawan 2000, satu peruntukan sementara diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 1999 untuk antara lainnya membayar gaji penjawat awam.

“Peruntukan awal ini memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.

“Dalam konteks ini, Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan amatlah tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang jelas bertujuan untuk menekan ahli-ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021, walaupun ia adalah Belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, pasukan peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengimbas kembali keputusan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang pernah menolak Belanjawan 2019 dan 2020 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas alasan kononnya mempunyai banyak kelompangan.

Katanya, penolakan belanjawan oleh ahli-ahli Parlimen bukanlah hal yang baharu.

Sementara itu kata Mahathir, ugutan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz jelas bertujuan mengekang ahli-ahli Parlimen dari melaksanakan tanggungjawab memastikan Belanjawan 2021 adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan politik parti yang memerintah.

Beliau berkata, jika itulah pendirian Menteri Kewangan dan pemimpin Kerajaan, ia bermakna ahli-ahli Parlimen perlu memberi “blank cheque” dan menyokong kelulusan belanjawan tersebut walaupun terdapat kecacatan yang nyata.

“Saya berharap Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang sedanf keresahan kehilangan kuasa, berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas, dan menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka,” katanya lagi.