Malaysia Dateline

UIA dan Shinzo Abe

Aku tak kenal Shinzo Abe secara mendalam. Tahu gitu-gitu sajalah. Orang selalu sebut fasal Abenomics dia. Dua kali jadi Perdana Menteri (PM) Jepun.

PM Jepun yang paling lama (2+8= 10 tahun). Dia tak jadi PM pun sebab dia sendiri letak jawatan atas faktor kesihatan (sakit radang usus) pada Ogos 2020.

Masa dia jadi PM kali kedua, Jepun tengah ‘bbolok wok’ sebab sebelum tu Jepun dah bertukar PM 6 kali dalam tempoh 6 tahun. Kita mengekori rapat sebab ada 4 PM dalam tempoh 5 tahun, boleh jadi ada 5 PM pulak tak lama lagi.

Bulan Mac baru ini, UIA anugerahkan ijazah PhD kehormat kepada Shinzo Abe dalam bidang Ekonomi Politik, kerana Abenomics dia tu lah.

Shinzo Abe merupakan individu ke-35 yang menerima ijazah PhD kehormat dari UIA dan satu-satunya penerima yang bukan Islam.

Aku rasa apa yang UIA buat ialah satu gesture yang signifikan untuk dakwah terhadap Jepun. Mungkin nampak remeh, tapi Jepun ialah bumi yang sangat subur untuk Islam. Cuma kita tak cukup mendekati dan menyantuni mereka.

Selama kita pandang ke timur (Jepun), kita tak jadikan Jepun sebagai sasaran mad’u, tapi sebaliknya kita yang malu apabila masih tak dapat nak menandingi mereka dalam soal kebersihan, integriti dan menepati masa.

Setidak-tidaknya bila duta Jepun duduk dalam Lembaga Gabenor UIA dan bekas PM Jepun dapat PhD kehormat dari UIA, mereka akan lebih kenal Islam dan pandang Islam sebagai satu cara hidup yang secocok dengan apa saja budaya baik yang mereka amalkan selama ini.

Supaya mereka tak menganggap orang Islam sebagai satu golongan yang sekadar “buat apa aku nak ikut Islam sedangkan orang Islam ni pun tiru aku?”.

Jadi bila Shinzo Abe mati kena tembak, tertanya-tanya jugaklah aku, kenapa jadi begitu. Dia bukannya ada anak pun. Dia tak ada dinasti. Ralat bila memikirkan segala kerjasama yang berpotensi, nampaknya terhenti dengan kematiannya.

Bila UIA buat Kulliyyah of Languages dulu, sudah ada impak positif dari segi dakwah. Jepun dan Korea lebih cakna soal pelancongan dan makanan halal.

Ada oppa yang ambik master halal management masuk Islam (jadi best student) dan parents dia punya seronok datang konvo UIA walaupun mereka masih belum masuk Islam. Inilah contoh dakwah bilhal. Dan aku telah mendengar banyak contoh kejayaan sedemikian.

UIA ni bagi aku buatlah apa saja kulliyyah, insyaAllah hasilnya akan berbeza dan tak sama dengan universiti lain. Hatta Kulliyyah Perhutanan sekalipun boleh dibawa dengan naratif yang berbeza.

Sebab tu dari dulu lagi aku sebut, kalau UIA ni buat Kulliyyah Muzik dan Seni Persembahan sekalipun, aku yakin pendekatan dan hasilnya akan berbeza.

Jauh pulak konar. Poin aku, kemesraan Jepun ni dari zaman Osmanli lagi. Kita tau sejarah kapal Ertugrul 1890. Raja Khalid Hitam dan Raja Aisyah Sulaiman, pasangan kerabat diraja Riau – Lingga pun pernah sampai ke Tokyo tahun 1912 – 1913.

Tapi kerap kali misi dakwah tu terputus dan tiada kesinambungan. Aku yakin Islam boleh menawarkan solusi kepada beberapa masalah sosial yang melanda masyarakat Jepun, seperti mana Tok Guru Nik Aziz pernah sebut dulu, orang Cina ni kalau terima Islam, dengan Islam dia boleh maju lebih jauh ke hadapan berbanding orang Melayu kalau orang Melayu sendiri tak nak ikut Islam.

Jepun ialah bumi yang subur buat Islam. Sekurang-kurangnya dengan usaha kecil sebegini bolehlah jugak nak jawab kat padang Mahsyar esok, apa yang dah dibuat untuk berdakwah kepada orang Jepun.

Semoga usaha sebegini akan terus berjalan sampai kita dan dia boleh sama-sama bukak puasa dengan sushi dan nasi lemak satu hari nanti.