UIAM lantik dekan terbabit saman fitnah skandal seks?

UIAM lantik dekan terbabit saman fitnah skandal seks?

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) didakwa telah melantik Dekan Fakulti Pendidikan di universiti tersebut yang terkait dengan isu saman fitnah membabitkan skandal seks.

Individu yang didakwa tersebut merupakan seorang defendan dalam kes fitnah yang dibawa oleh Afareez Abd Razak dan sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Menurut bekas pelajar fakulti berkenaan, Muhammad Syukri Abd Hamid (gambar atas), 27, berkata perkara ini mengecewakan kerana pentadbiran UIAM tidak sepatutnya melantik individu yang sedang dalam kes di mahkamah sebagai pimpinan fakulti.

“Perkara ini membimbangkan kerana individu tersebut adalah defendan dalam kes saman fitnah yang boleh membawa kesan kepada reputasi universiti.

“Kes saman fitnah yang dibawa ini adalah antara yang terbesar melibatkan institusi pendidikan negara.

“Bagaimana mereka hendak mendidik etika, moral dan akhlak sedangkan perwatakan, keperibadian dan prinsip mereka sendiri sedang dibicarakan di mahkamah?,” luahnya ketika dihubungi.

Individu yang dimaksudkan adalah Ainol Madziah Zubairi, salah seorang yang dinamakan dalam 24 defendan yang disaman fitnah dalam isu skandal seks di universiti berkenaan.

Selain itu, Syukri juga menyatakan terdapat dua lagi nama (Mohd Burhan Ibrahim dan Suhailah Hussien) yang dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan turut terbabit sebagai defendan dalam isu yang sama.

“Pentadbiran juga perlu menimbang semula lantikkan terhadap dua Timbalan Dekan Pascasiswazah (Mohd Burhan) dan Timbalan Dekan Akademi (Suhailah) kerana mereka juga turut tersenarai sebagai defendan dalam isu saman fitnah.”

“Sekiranya universiti tidak menimbangkan perkara ini dengan baik, saya khuatir nama baik UIAM akan tercalar terutama sekiranya keputusan mahkamah tidak menyebelahi pihak defendan kelak,” luahnya lagi.

Kes saman fitnah tersebut masih terus berlangsung di mahkamah tinggi dan dijangka akan sambung bicara pada 1 pada Ogos ini.