Malaysia Dateline

UIAM pertahan pensyarah-pelajar terlibat salah laku seks?

Mohd Razip Hamidun

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini didakwa mempertahankan seorang pensyarah sambilan merangkap calon Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) yang terlibat dalam kes salah laku seks dengan pelajar lain di universiti berkenaan.

Bekas penuntut universiti itu, Mohd Razip Hamidun, 34, berkata tindakan segelintir pentadbir di UIAM yang gagal untuk mengambil tindakan terhadap pensyarah sambilan warganegara Palestin bernama Fuad Trayek terhadap salah laku seks meruntuhkan nama baik universiti tersebut.

“Sebelum ini, isu kes tersebut kelihatan menjadi asas permasalahan telah disebut dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya turut hadir sendiri menyaksikan perbicaraan berkenaan, saya harap pihak universiti mengambil tindakan proaktif dalam menangani permasalahan tersebut.

“Pensyarah sambilan berkenaan telah pun diberikan ijazah PhD oleh pihak universiti seolah-olah langsung terlepas pandang isu salah laku seksualnya serta mengabaikan terus laporan yang dibuat oleh pihak fakulti.

“Saya difahamkan terdapat laporan bertulis serta rakaman pengakuan tentang salah laku tersebut tetapi seperti tidak bermakna. Apa sudah jadi dengan laporan dan rakaman itu?” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pelajar UIAM, Muhammad Firdaus Norhadi, 33, yang juga hadir menyaksikan perbicaraan tersebut mendakwa bahawa Islam yang diletakkan pada nama universiti tersebut pastinya tercalar akibat kes itu.

Maruah universiti

Firdaus Norhadi

Tambahnya, daripada kes yang masih dalam proses mahkamah ini, difahamkan ia sedikit sebanyak melibatkan maruah universiti dan memalukan pelajar serta seluruh warga di universiti itu.

“Tidakkah kita berasa jahil dan malu kerana beberapa orang tempatan terpaksa naik turun mahkamah selama beberapa tahun disebabkan seorang lelaki Palestin yang gagal menjaga kemaluannya?

“Apakah kerana sentimen terhadap nasib negara Palestin di kalangan masyarakat kita menyebabkan kita kabur dalam membuat pertimbangan yang adil? Yang salah tetap salah dan harus ditangani,” tegasnya.

Sehubungan itu, Firdaus menyifatkan kes tersebut sebagai pelik dan jelik apabila seorang pensyarah sambilan itu yang mengakui melakukan kesalahan melakukan hubungan intim dengan seorang pelajar yang dipercayai sudah berkahwin masih dianugerahkan PhD.

“Setahu saya, dalam universiti terdapat peraturan yang melarang keras sebarang bentuk khalwat.

“Saya pelik bagaimana UIAM masih meneruskan dengan Maaruf Club, yang kononnya bagi membanteras maksiat sedangkan, maksiat yang jelas diakui tidak diendahkan.” bidasnya.

Untuk rekod kes tersebut masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membabitkan beberapa pensyarah, pentadbir dan pelajar Kulliyyah (Fakulti) Pendidikan UIAM serta plaintif yang juga merupakan seorang pensyarah di universiti berkenaan.