Malaysia Dateline

UiTM FC fokus Liga Super musim depan

Pasukan UiTM FC tetap optimis dengan misi memburu slot Liga Super musim depan meskipun gagal mengutip mata penuh menentang Selangor United pada saingan Liga Premier, Jumaat lalu.

Selaku pendahulu liga, UiTM FC gagal melebarkan jumlah kutipan mata apabila tewas 2-1 kepada Selangor United, sekali gus berkongsi 26 mata dengan pencabar terdekat JDT II selepas 14 perlawanan.

Presiden UiTM FC , Prof Dr Azizan Abdullah berkata skuad ‘The Lion Troops’ akan mengambil peluang dalam baki enam perlawanan untuk tidak tercicir sebarang mata dan meraih gelaran juara Liga Premier serta mengesahkan slot Liga Super.

“Kita perlu menang dalam tiga lagi perlawanan untuk melonjak ke Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa UiTM FC di Intekma Resort,  pada Isnin.

Dua pasukan teratas Liga Premier akan layak beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Terdahulu, beliau yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, turut menyampaikan sumbangan derma kilat kepada keluarga bekas jurulatih pasukan Piala Presiden UiTM, Allayarham Anuar Abu Bakar yang meninggal dunia pada 6 Mei lalu akibat kanser hati tahap empat.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad.– BERNAMA