UiTM Merbok perlu prihatin kebersihan dan keperluan pelajar

UiTM Merbok perlu prihatin kebersihan dan keperluan pelajar
Keadaan tong sampah di blok Malinja A, UiTM Merbok tidak terurus sehingga semalam.

Deretan tong-tong sampah yang sepatutnya berada pada setiap tingkat di Blok Malinja A, kampus UiTM Merbok, Kedah, didapati telah berada di bahagian bawah kediaman blok tersebut sejak beberapa hari yang lalu telah menimbulkan ketidakselesaan kepada dikalangan pelajar.

Lebih menyedihkan apabila deretan tong-tong sampah tersebut turut mengeluarkan bau yang tidak selesa serta menyakitkan mata memandang.

Menurut sumber dalaman kampus tersebut, sepatutnya deretan tong sampah tersebut dibersihkan dengan segera dan diletakkan disetiap tingkat bagi memudahkan para pelajar.

Namun begitu sehingga semalam, masalah ini telah memberi impak yang tidak baik, khususnya kepada pelajar yang alah kepada bau busuk.

Waris pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Nazar telah meluahkan kekesalan tersebut dengan berkata, sepatutnya masalah kebersihan menjadi keutamaan kepada institusi pengajian tinggi tersebut.

“Sekiranya kebersihan tidak menjadi keutamaan sudah pasti ia akan memberi kesan yang buruk kepada para pelajar yang mendiami blok tersebut.

“Apa lagi sekiranya hari hujan sudah pasti ia akan mengeluarkan bau yang lebih busuk khususnya pada waktu malam.

“Oleh kerana itu, sepatutnya pihak pengurusan institusi tersebut mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, masalah ini tidak seharusnya berlaku kerana ratusan pelajar yang mendiami blok tersebut merupakan pelajar baru yang memulakan pengajian sejak bulan Julai yang lalu.

Sehubungan itu ujarnya, adalah diharapkan pihak pengurusan institusi tersebut lebih peka dan prihatin dengan mengambil tindakan serius tanpa membiarkan perkara yang sama berulang sehingga beberapa hari untuk diselesaikan.

Deretan tong sampah yang menyakitkan mata memandang di blok Malinja A, UiTM Merbok, Kedah.