Pasukan Kulinari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Pulau Pinang menempa sejarah tersendiri apabila telah berjaya muncul sebagai Naib Juara Keseluruhan dalam ‘World Chefs Championship’ yang telah diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam.
Pertandingan peringkat internasional tersebut telah berlangsung mulai 13 Disember dan berakhir semalam di sokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan negeri Kedah.
Ia juga tercatat dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) apabila disertai oleh seramai 2300 peserta yang mewakili lebih 20 buah negara serta lebih 80 kategori yang dipertandingkan.
UiTM Pulau Pinang diwakili oleh 44 orang peserta turut berjaya meraih 8 pingat emas, 12 pingat perak, 12 pingat gangsa dan 4 Diploma menerusi 25 kategori dalam pertandingan tersebut.
Selain pasukan UiTM Pulau Pinang yang muncul Naib Johan Keseluruhan, pasukan dari Hotel Seri Malaysia turut muncul sebagai Johan Keseluruhan dan Langkawi Chef menduduki tempat ketiga keseluruhan.
Pengiktirafan MBOR juga berjaya dicipta melalui kategori bilangan peserta paling ramai, jenis masakan paling banyak serta juri pertandingan yang paling ramai.
Dalam pertandingan tersebut ia turut menawarkan 14 kategori utama dengan pelbagai jenis masakan yang terdiri daripada berbagai jenis budaya makanan.
Masakan Jepun, kuih-muih tradisional Melayu, barista, patisseri, masakan panas dan sejuk, dim sum dan sebagainya menjadi kepelbagaian masakan yang dipertandingkan semalam.