Malaysia Dateline

UiTM Pulau Pinang lantik Rektor wanita pertama

UiTM cawangan Pulau Pinang menempa sejarah apabila berjaya melantik Rektor Wanita Pertama universiti tersebut, Profesor Dr Salmiah Kasolang berkuatkuasa 1 Mei 2020.

Menurut kenyataan UiTM cawangan tersebut, lantikan ini menjadikan Dr Salmiah sebagai wanita pertama menjawat jawatan tersebut di kampus Permatang Pauh dan merupakan rektor kesembilan.

Jelas kenyataan tersebut lagi, beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam selama dua tahun dan Timbalan Dekan, (Penyelidikan dan Jaringan Industri) di kampus yang sama selama tujuh tahun serta menjawat beberapa jawatan penting yang lain.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari University of Sheffied, United Kingdom dan Ijazah dari University of Wisconsin, USA merupakan pakar dalam bidang Tribology.

Ia juga merupakan seorang penyelidik yang aktif dan sebagai ahli akademik yang disegani dengan lebih 100 penyelidikan H-Indeks dan RM1. 54 juta geran penyelidikan serta pelbagai pencapaian dan anugerah yang berprestij telah diterima beliau.