Malaysia Dateline

UiTM sentiasa ambil langkah pastikan graduaan kebolehan pasaran

UiTM akan senantiasa mengambil pelbagai langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dalam menyediakan para pelajarnya dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan prasarana yang terkini bagi memastikan kebolehpasaran graduannya’ Graduate Employability’.

Demikian dinyatakan oleh Pro Canselornya, Tan Sri, Datuk Seri Utama,(Dr) Arshad Ayub ketika menyampaikan ucapan beliau pada Istiadat Konvokesyen UiTM Pulau Pinang bagi kali ke 91 pada Rabu.

Jelasnya lagi, data daripada QS universiti ranking, UiTM berada dalam kedudukan 6 terbaik untuk ‘Graduate Employment Rate’ dimana data selepas pelajar menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan.

Sehubungan itu katanya, ia juga berada pada kedudukan 137 universiti terbaik di Asia dan sedang meningkat serta kedudukan 301-500 terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan.

“Kepelbagaian bidang yang ada di UiTM apabila lebih 500 program yang ditawarkan adalah penentu kepada kejayaan negara, khususnya bagi melahirkan generasi yang dinamik, berilmu dan berakhlak mulia dalam apa jua bidang agar dapat memacu negara seiring dengan negara-negara maju yang lain.

“Dengan kepelbagaian ilmu sains dan teknologi yang begitu pesat ke arah revolusi industri 4.0, sebenarnya menggambarkan bahawa cabaran semakin hebat, ditambah pula dengan arus globasisasi yang membawa falsafah dunia tanpa sempadan, sudah tentu hanya mereka yang cekal dan berilmu sahaja mampu bersaing.

“Kecemerlangan sebuah organisasi perlu diiringi dengan kemahiran dan kebijaksanaan sumber manusia yang terlatih dan berilmu agar mereka boleh mengeksploitasikan kemajuan teknologi yang wujud, ” tegasnya.

Malah kata beliau, penghasilan modal insan yang tinggi nilainya perlu diiringi dengan didikan dan asuhan yang menjurus kepada kesempurnaan akhlak, jujur dan amanah.

Disamping itu ujarnya, kombinasi kebijaksanaan ilmu dan kesempurnaan akhlak merupakan kunci utama yang seharusnya ada pada setiap individu.

Tambah beliau transformasi minda akan menjurus kepada penguasaan ilmu dalam membentuk generasi yang lemah kepada generasi yang kuat dan generasi yang malas kepada generasi yang dinamik.

Dalam pada itu Arshad turut menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik Ijazah Sarjana Muda(Keseluruhan) UiTM cawangan Pulau Pinang kepada Jaynathan Lester Bin Jasli dari Sabah.