Ujian anti rasuah (RBTag) untuk bakal calon PRN Johor

Oleh BORHAN AHMAD

Satu inisiatif menarik yang diperkenalkan #RasuahBusters bersama Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu perlu diteruskan dan disokong semua pihak, apalagi calon-calon yang bakal bertanding pilihan raya.

Memandangkan PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi, mereka yang bakal menjadi calon bagi parti masing-masing diseru mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti masing-masing.

“Calon yang serius untuk membanteras rasuah dalam politik negara seharusnya menggunakan peluang tersebut,” kata Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin pada pelancaran Ujian Psikometrik RBTag di Kompleks Karangkraf, pada November tahun lalu.

Jelasnya, ini kerana ia bukan sahaja dapat menilai kredibiliti masing-masing, tetapi turut berupaya memberikan nilai tambah bagi memberikan keyakinan kepada pengundi

RBTag ialah alat ukur psikologi yang dibina khas untuk mengukur 10 tret yang merujuk kepada aspek integriti seseorang individu. Ia direka khas berasaskan Situational Judgement Test (SJT) dan merujuk kepada nilai dan psikologi masyarakat Malaysia.

Justeru, Profil RBTag melaporkan nilai kebolehpercayaan yang tinggi iaitu alpha .90.

Komitmen melawan rasuah

Hakikatnya, ujian itu bukanlah bertujuan menjatuhkan atau melemahkan calon, tetapi ia adalah usaha bagi menampakkan betapa seriusnya komitmen semua pihak dalam melawan rasuah.

Sebagaimana yang dilaporkan Rasuah Busters, RBTag adalah mekanisme bagi mengenal pasti kredibiliti dan keupayaan calon melaksanakan tadbir urus dalam kepimpinan.

Ujian ini dilihat dapat membantu menjadi alat ukur rakyat untuk menilai dan membuat pilihan memilih adakah calon yang bertanding di kawasan mereka itu layak atau sebaliknya.

Ujian sistem psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) yang bertujuan mengukur tahap integriti bukan satu perangkap sebaliknya satu proses mengetahui kelemahan dan kelebihan diri secara lebih mendalam.

“Menerusi ujian tersebut, individu dapat melihat secara jelas kelebihan serta kekurangan diri terutama melibatkan isu integriti,” kata Felo Penasihat Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Rosmadi Ghazali.

Menurutnya lagi, hasil keputusan ujian yang merupakan rahsia antara individu dan pihak pengurusan RBTag boleh digunakan sebagai pemangkin diri untuk menjadi insan lebih baik.

“Ujian RBTag ini bukan satu perangkap kepada mana-mana individu yang berasa takut untuk dirinya dikategorikan sebagai pesalah atau terlibat dengan amalan rasuah. Ini adalah persepsi yang salah,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, RBTag mempunyai tiga penilai ujian yang bukan calang-calang iaitu:

  1. Profesor Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal

Felo Persatuan Kaunseling Malaysia (Antarabangsa), pakar psikologi kaunseling, kaunselor profesional Berlesen, pakar psikometrik, pengarang dan pembangun ujian personaliti dalam talian Malaysia pertama (Profil Personaliti TAJMA), OPEN University Malaysia.

  1. Profesor Dr Adibah Abdul Latif

Felo Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi Fiqh, pakar psikologi, pakar pengujian dan pengukuran, pakar psikometrik Universiti Teknologi Malaysia.

  1. Profesor Dr Rohana Jani

Felo Penyelidik Kanan Ungku Aziz Pusat Kajian Pembangunan, pakar psikometrik dan ahli perangkaan Universiti Malaya.
Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03-61786093 atau 012-7869261 dan menghantarkan e-mel ke [email protected] bagi pertanyaan dan pendaftaran.

Kepada yang berminat, boleh melayari www.rbtagmy.com atau http://rbtagmy.com/supportRasuahBusters.php untuk maklumat lanjut.

Tidak perlu risau

“Jangan gusar dan takut untuk menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag),” demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.
Menurutnya, tiada apa yang perlu dirisaukan sekiranya ahli-ahli politik melakukan ujian RBTag tersebut.

“Malah, kelebihan menjalani ujian psikometrik tersebut boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah yang boleh berlaku dan terdedah dalam masyarakat pada masa ini.
Beliau berkata, ujian RBTag ini bukan satu penilaian bahawa individu yang mengambil ujian ini terlibat dengan isu rasuah. Ia hanyalah sekadar satu ujian.

“Sebaliknya ia mampu memberi panduan untuk kita menjadi seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi kerana keputusan ujian ini membolehkan mereka mengetahui kelebihan dan kelemahan diri.”

Masih belum terlambat

Realitinya, kita berada pada titik yang tajam dan menentukan dalam sejarah manusia, yang mana masing-masing mempunyai peluang dan kemampuan untuk membentuk masa depan yang lebih baik.

Selain itu, dunia memerlukan pemimpin berwibawa yang mempunyai matlamat yang jelas untuk memikul amanah untuk membantu masyarakat dan negara mengatasi cabaran paling sukar yang dihadapi ketika menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini.

Tawaran yang diberikan oleh Rasuah Busters ini perlu disahut bagi menilai sejauh mana kesungguhan diri mereka menentang budaya rasuah dan bebas daripada amalan penyelewengan kuasa sekali gus menjadi pemimpin yang bersih.

Seharusnya ia dilakukan oleh calon-calon yang bertanding bagi mengetahui keupayaan diri mereka. Sebagaimana penulisan saya terdahulu (Pemimpin berwibawa membawa kemakmuran negara, 23 Disember 2020) menyatakan:

“Tentunya kita belum terlambat dalam menangani perubahan yang memerlukan kerja keras untuk membina sebuah negara yang pemimpinnya berwibawa dan rakyatnya hidup sejahtera serta mengembangkan kemampuan yang ada untuk kemakmuran semua.”

Namun, pada masa yang sama, kepimpinan yang ada perlu berusaha bersungguh-sungguh menangani masalah yang sering tercetus antaranya perpaduan, persepsi serta isu-isu hak asasi manusia, pendidikan, kesihatan dan kepelbagaian identiti dalam satu masyarakat, serta yang utamanya menangani isu rasuah yang berbahaya kepada masyarakat.

Maka menerusi ujian psikometrik ini, ia menjadi platform, peluang dan ruang bagi para pemimpin membuktikan tahap integriti yang ada pada dirinya.

“Kembalikan kesejahteraan Malaysia!”

———-

Penulis adalah Pegawai Penyiaran Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia
https://ikram.org.my/