Malaysia Dateline

Ujian kali ketiga pun Presiden Brazil masih positif Covid-19

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro diuji positif Covid-19 buat kali ketiga sekali gus menyebabkan tempoh kuarantinnnya dipanjangkan selain semua rancangan perjalanannya ditangguhkan.

AFP melaporkan, bagaimanapun, pemimpin sayap kanan itu “dalam keadaan baik.”

Bolsonaro, 65, sebelum ini dikecam ekoran berulang kali melanggar langkah penjarakan sosial dan memperkecil risiko virus yang berasal dari China itu.

Beliau sudah mengasingkan diri di kediamannya di Brasilia sejak pertama kali diuji positif pada 7 Julai lalu.

“Kesihatan Presiden Jair Bolsonaro menunjukkan peningkatan di bawah rawatan pasukan perubatan tetapi ujian semalam menunjukkan beliau kembali positif,” menurut kenyataan rasmi pejabatnya.

Bolsonaro pernah membandingkan virus Covid-19 dengan selesema kecil dan tidak senang dengan arahan duduk di rumah serta amalan kebersihan lain oleh pegawai kesihatan.

Dia kemudiannya dilapor diserang virus yang sudah mengorbankan lebih 630,000 nyawa itu selepas kerap bertemu dengan penyokongnya tanpa memakai pelitup muka.

Sebelum disahkan positif Covid-19, bekas kapten tentera tersebut bahkan bersalaman dan berpelukan selain mendesak rakyat negara terbesar di Amerika Latin itu bekerja seperti biasa.

Sejak itu, beliau hanya menjalankan rutin urusan pekerjaan menerusi sidang video di kediamannya, Alvorada Palace dan terus menangguhkan sebarang perjalanan ke negeri timur laut, Piaui dan Bahia.

Walau bagaimanapun, Bolsonaro pada 19 Julai lalu masih bertemu dengan penyokong di kediamannya tanpa melakukan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka ketika memegang sekotak hidroksiklorokuin, ubat anti-malaria yang diambilnya bagi melawan jangkitan itu.

Setakat malam ini, Brazil antara negara yang paling terjejas selepas Amerika Syarikat dengan mencatatkan lebih 2.2 juta jangkitan dan hampir 83,000 kematian.