Malaysia Dateline

Ujian positif urin sekolah menengah di Sarawak menurun

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, jumlah pelajar yang positif ujian urin di sekolah menengah di negeri ini telah mencatat penurunan.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Holiis memberitahu, penurunan tersebut adalah setakat Oktober tahun ini berbanding 2018.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah melaksanakan Program Operasi/Intervensi Bersepadu Menangani Isu Penyalahgunaan Dadah dan Substance(OBID)

Jelasnya, pada tahun ini sebanyak 3,649 orang pelajar diuji daripada 182 buah sekolah menengah di Sarawak dan 274 pelajar telah didapati positif.

“Berbanding 2018, sebanyak 2,967 orang pelajar yang diuji daripada 160 buah sekolah menengah dan 301 pelajar didapati positif.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha intervensi yang dijalankan setakat ini sudah mula membuahkan hasil,” jelas beliau ketika menjawab soalan Datuk Idris Buang (GPS -Muara Tuang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (Dun) di Kuching hari ini.

Tegasnya, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di sekolah-sekolah, seorang Pegawai Khas Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) telah ditempatkan di setiap Pejabat Pendidikan Daerah.

“Mereka bertanggungjawab membantu menyelaras program-program pendidikan pencegahan dadah di sekolah seliaan masing-masing.

“Sebagai makluman, sekolah menengah di Sarawak juga menjalankan ujian air kencing untuk megenal pasti pelajar yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Tambah Harden, pemeriksaan dijalankan dua kali setahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, ini adalah bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah di Sarawak di samping peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang telah membangunkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diluluskan pada 10 Januari 2019.

“Sejak SOP berkenaan diluluskan sehingga Oktober 2019, seramai 56 orang pengedar dadah yang dikesan mengedar dadah kepada pelajar sekolah telah berjaya diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316).

“Sementara pada 2018, sebanyak 16 buah sekolah yang mempunyai bilangan pelajar positif urin yang tinggi telah dikenal pasti,” jelasnya.