Malaysia Dateline

Ujian saringan besar-besaran punca Selangor paling tinggi positif, kata Adun

Tindakan kerajaan negeri Selangor mengadakan ujian saringan besar-besaran Covid-19 dalam masyarakat secara percuma antara punca kenapa bilangan mereka yang disahkan positif Covid-19 sangat tinggi di negeri itu.

Bahkan, Adun Taman Templer, Selangor, Sany Hamzan menjangkakan jumlah kes positif akan bertambah lagi selepas ini di Selangor apabila kerajaan negeri menambahkan lagi usaha membuat ujian secara percuma untuk rakyatnya.

Antara jadual saringan Covid-19 yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi menguji rakyatnya apakah mereka dijangkiti virus itu atau tidak.

“Saya jangka lepas ni tinggi lagi sebab kami buat test secara percuma setiap kawasan. Kawasan saya di Dun Templer akan dibuat pada 20 Mei ini, semua orang boleh datang untuk test,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Ujian saringan Covid-19 untuk Dun Templer, kawasan yang beliau wakili akan dibuat di Dewan Seroja, kampung Bendahara, Selayang 20 Mei ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata, ujian saringan bersasar itu dilaksanakan di seluruh negeri secara berturutan di setiap daerah.

Antara kawasan awal yang disasarkan adalah Shah Alam yang mencatatkan rekod positif Covid-19 yang tinggi semalam.

Hari ini, Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan menggesa kerajaan membuat ujian besar-besaran dan cepat bagi melawan Covid-19.

“Hanya dengan meningkatkan keupayaan pengujian dan pengesanan kami, sebagai sebahagian daripada kelajuan tindak balas FTTIS yang didigitalkan dan automatik, memboleh kita mengetahui sejauh mana pembawa senyap koronavirus.

“(Ia boleh disusuli dengan), mengasingkan mereka dengan cepat mencegah penularan lebih lanjut ke komuniti yang lebih luas,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan bersama lapan lagi Ahli Jawatankuasa terbabit.

Sebuah laman web melaporkan, statistik pengesanan kontak direkodkan Putrajaya melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan situasi wabak Covid-19 yang membimbangkan di Shah Alam, Selangor, negeri yang terus kekal mencatat kes harian tertinggi dalam negara.

Setakat dua hari lepas,  sejumlah 941 kes direkodkan berasal dari 27 seksyen di ibu negeri Selangor tersebut, lapor laman yang dikaitkan dengan Azmin Ali itu.

Seksyen 19 dan 23 yang memiliki populasi padat dengan kawasan perindustrian dan bandar komersial selain kawasan perumahannya merekodkan 212 kes sejak dua minggu lalu.

Laman web itu mengaitkan kegagalan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) yang diketuai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Peningkatan kes di Selangor turut menarik kritikan terhadap pasukan tindakan Covid-19 yang diketuai bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang dilihat menyalahkan kerajaan pusat berhubung kenaikan kes di negeri itu melalui media sosial.

“Ketika Dzulkefly menyalahkan kegagalan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selain ujian besar-besaran yang dilaksanakan di negeri itu, Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud pula mempertahankan kerajaan negeri berhubung dakwaan langkah pengesanan kontak di Selangor gagal beroperasi,” kata laman itu.

Sementara itu, Persatuan Komuniti Penduduk Seksyen 23 (PKS23) menafikan laporan sebuah media bahawa begitu banyak penduduk Shah Alam yang dijangkiti Covid-19.

Menerusi satu kenyataannya, mereka memaklumkan pihaknya berbincang dengan pegawai khas dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam berkenaan siasatan awal dan tindakan lanjut yang akan diambil.

Menurut kenyataan tersebut, kes jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit tidak seperti yang dihebahkan dan ia tidak merebak melalui jemaah surau seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jumlah peratus rumah di sini yang terkesan dengan Covid-19 adalah sebanyak 7.5 peratus, manakala hanya 2.5 peratus penduduk dijangkiti virus terbabit.

“Berkenaan dakwaan ambulans keluar masuk kawasan di sini pula, ia adalah milik syarikat swasta yang berpengkalan di kawasan ini dan tidak membawa pesakit Covid-19.

“Malah sehingga kini, tiada pemasangan pagar atau pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh pihak berkuasa dilaksanakan di sini,” kata kenyataan tersebut pada Ahad sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian.