Malaysia Dateline

Theresa May

UK, EU capai kata sepakat berhubung perubahan dalam perjanjian Brexit

United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai kata sepakat berhubung “perubahan yang mengikat secara sah dari segi undang-undang” dalam perjanjian keluar EU dan deklarasi politik, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Perdana Menteri Britain Theresa May pada Isnin malam.

“Terdapat kebimbangan yang jelas dalam parlimen (Britain) berhubung satu isu khususnya penghadang di sempadan Ireland Utara,” kata May dalam sidang akhbar bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker di bandar Strasbourg, Perancis.

“Memiliki polisi insurans bagi menjamin bahawa tidak akan wujud sempadan keras di Ireland Utara adalah sesuatu yang tepat kerana ia memenuhi komitmen serius Britain dalam Perjanjian Belfast 1998, ” katanya.

“Bagaimanapun, jika kita perlu menggunakan polisi insurans ini, ia tidak boleh menjadi perkiraan kekal dan bukanlah acuan untuk hubungan masa depan kita,” kata beliau.

Mengulas perjanjian Brexitnya, yang menyebabkan beliau terpaksa berdepan kekalahan bersejarah di Parlimen pada Januari dan memerlukan perubahan yang mengikat secara sah di sisi undang-undang, May berkata “hari ini kami telah mencapai kata sepakat.”

Kenyataan May itu dibuat sebelum “pengundian bermakna” kedua berlangsung pada Selasa di Dewan Rakyat.

“Sekarang adalah masanya untuk kita bersatu serta menyokong perjanjian Brexit yang telah ditambah baik ini, dan menabur bakti atas arahan rakyat Britain,” katanya kepada anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu, Juncker percaya “masanya telah tiba untuk menyelesaikan proses keluar EU selaras hasrat yang dizahirkan oleh kerajaan UK dan bergerak secepat mungkin untuk mengadakan rundingan kerjasama masa depan kita.”

Beliau menegaskan bahawa UK mempunyai peluang kedua untuk meminta perubahan dalam perjanjian itu namun tidak mungkin wujud kali ketiga.

Beliau menggesa agar perjanjian itu diratifikasi oleh parlimen Britain.- BERNAMA