UK setuju kerjasama bantu siasatan skandal 1MDB, kata Anwar

UK setuju kerjasama bantu siasatan skandal 1MDB, kata Anwar

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar dan Hal Ehwal Komanwel United Kingdom (UK), Boris Johnson bagi merunding kerjasama dua hala antara Malaysia dan UK.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar memaklumkan kerajaan UK bersetuju bagi membantu siasatan skandal terbesar, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Perbincangan kami membuahkan hasil serta kata sepakat bersama.

“Kerajaan UK sudah menyatakan sokongan bagi membantu siasatan mengenai skandal 1MDB termasuk penghantaran semula semua aset yang disita di UK,” katanya dalam status yang di muat naik di media sosialnya, Instagram hari ini.

Dalam pada itu, Boris dalam laman Twitternya, turut menyatakan rasa hormat serta berharap dapat memperkasakan lagi hubungan antara Malaysia dan UK selepas ini.

“Satu penghormatan besar dapat bersua muka dengan Anwar selepas pembebasan beliau dari penjara pada bulan lalu.

“Ia merupakan satu harapan besar buat rakyat Malaysia yang kini di bawah kepimpinan reformis baharu.

“Saya komited untuk terus mengukuhkan kerjasama antara dua negara ini,” luahnya.

CATEGORIES