AMK gesa UKM rombak hukuman gantung pengajian Asheeq Ali

AMK gesa UKM rombak hukuman gantung pengajian Asheeq Ali

Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengantung pengajian mahasiswa Asheea Ali Sethi Alivi  (gambar) yang berkuatkuasa hari ini.

Naib Ketua AMK Fahmi Fadzil berkata, tindakan UKM itu sekaligus menyukarkan mahasiswa jurusan undang-undang itu untuk menamatkan pengajian yang berbaki tiga bulan lagi.

“Hukuman penggantungan ini menampakkan trend pihak atasan yang terus mengugut golongan mahasiswa, di mana mereka yang berani ke depan menyuarakan pandangan yang mengkritik pemerintah akan dihukum.

“Ini hanya akan melemahkan generasi baru rakyat Malaysia, dan akan memberi kesan mendalam buat daya pemikiran dan amalan demokrasi buat generasi akan datang.

“Dengan hukuman yang dikenakan terhadap Asheeq menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, ia membuktikan bahawa Kerajaan BN tidak sanggup lagi dibuka pekungan akibat amalan kleptokrasi yang diamalkan mereka,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi Fadzil

Beliau mengulas keputusan Hal Ehwal Pelajar UKM pada Isnin, Asheeq Ali yang menggantung pengajian mahasiswa Asheeq Ali berkuatkuasa 14 Mac 2018 sehingga 13 Mac 2019.

Asheeq didakwa di bawah Kaedah-kaedah UKM (Kaedah 3 dan 13) kerana menyertai perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan pada Ogos 2016 yang lalu.

Peraturan tersebut selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) yang selama lebih 40 tahun telah mencengkam aktivisme dan idealisme mahasiswa.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR menyeru agar UKM mengkaji semula hukuman yang mereka kenakan terhadap mahasiswa tersebut kerana Auku adalah satu akta zalim yang perlu dimansuhkan segera.

“Hak mahasiswa dan para akademik termasuklah kebebasan bersuara, berkumpul, kebebasan akademik dan kuasa autonomi universiti perlu dikembalikan.

“Dengan hukuman sedemikian, penggunaan peraturan seperti Auku telah membantut perkembangan nilai-nilai di kalangan mahasiswa khusus berkaitan hak bersuara, berhimpun dan mempertahan hak rakyat.

“Malah Auku menyuburkan idea bahawa universiti hanyalah tempat mendapatkan ijazah, yang wujud di dalam vakum dan tiada kaitan dengan realiti politik, ekonomi dan sosial masyarakat terbanyak,” ujarnya.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote