Malaysia Dateline

UKM FC sah tidak sertai Liga-M 2019

Pasukan UKM FC sah tidak menyertai Liga Malaysia (Liga-M) 2019 setelah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan penangguhan pengesahan pendaftaran pasukan berkenaan yang dihantar pada 23 Nov lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingan berkata Lembaga Pengarah MFL yang bersidang hari ini memutuskan untuk tidak mempertimbangkan permohonan tersebut kerana UKM FC tidak mengemukakan maklumat baharu mengenai permohonan penangguhan berkenaan.

“Setiap pasukan harus mengambil serius tentang tarikh akhir yang ditetapkan untuk setiap perkara. Mentaliti mengambil mudah perkara sebegini harus dihentikan,” tegas Kevin seperti dipetik menerusi laman sesawang MFL; www.malaysianfootballleague.com.

Mengulas lanjut, Kevin menjelaskan setiap pasukan bertanding dalam Liga-M diberi masa sebulan untuk membuat pengesahan penyertaan mereka, sambil mengakui keputusan penolakan tersebut dibuat bagi menjaga martabat bola sepak Malaysia.

“Membuat keputusan menolak rayuan ini bukan satu perkara mudah, namun semua yang terlibat dalam industri bola sepak Malaysia harus berterima kasih kepada Lembaga Pengarah MFL kerana tegas dan profesional dalam memelihara Liga Malaysia,” tegasnya.

UKM FC sebelum ini menghantar permohonan penangguhan pengesahan pasukan pada 15 Nov lepas, namun ditolak Lembaga Pengarah MFL kerana pasukan berkenaan dikatakan menghantar permohonan tersebut pada tarikh akhir dan tepat pada waktu penutupan iaitu pada tarikh sama.

MFL, bagaimanapun memberi tempoh seminggu kepada UKM FC untuk membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan, sebelum permohonan penangguhan kedua yang dihantar pada 23 Nov lepas turut ditolak.

“Ini bermakna masih ada empat slot kekosongan dalam 100PLUS Liga Premier 2019. MFL masih menunggu pengesahan secara rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencadangkan empat pasukan daripada Piala FAM yang akan bertanding bagi musim depan,” kata Kevin.

— BERNAMA