Ulama Australia seru rakyat Islam Malaysia pertahan akidah ASWJ

Ulama Australia seru rakyat Islam Malaysia pertahan akidah ASWJ

Majoriti rakyat Malaysia memahami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah, perlulah meneruskan akidah itu demi keharmonian masyarakat dan negara,kata Pengerusi Darulfatwa, Majlis Tertinggi Islam Australia, Dr Sheikh Salim Alwan Al-Husainiyy.

Kata beliau, ideologi-ideologi ekstrem memburukkan reputasi Islam sehingga menjarakkan bukan Islam daripada mengenali Islam yang sebenar,

“Saya ingin tegaskan pentingnya meneruskan akidah ini Ahli Sunnah waljamaah (ASWJ). Akidah inilah yang menjamin keharmonian masyarakat dan keamanan sesebuah negara,” katanya.

Bahaya dan kesan penularan ideologi ekstrem itu juga seringkali menyeru kepada tindakan-tindakan pembunuhan dan pemusnahan, katanya dalam temu bual eksklusif berbahasa Arab dengan Bernama di Universiti Islam Malaysia (UIM).

Beliau, yang juga Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Alumni Azhar di Australia, turut menegaskan pentingnya peranan ilmuwan dalam menyebarkan kefahaman akidah ini kepada setiap lapisan masyarakat.

Kefahaman yang betul menjadi benteng negara dan generasi akan dating daripada diserapi ideologi-ideologi eksterim, kata Dr Sheikh Salim yang berada di Malaysia bagi memenuhi jemputan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh untuk memberi penerangan terperinci mengenai kitab tauhid dalam Majlis Talaqqi Kitab Bersanad anjuran UIM.

Majlis sehari itu mengupas intipati kitab Fiqhul Akbar, satu daripada lima karya agung Imam Abu Hanifah.

Majlis Talaqqi yang dijadual berterusan secara bulanan dengan sesi kedua pada bulan Mei ini turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dan Presiden UIM, Tan Sri Prof. Dr Mohd Yusof Noor.

Talaqqi bermaksud pelajar duduk bersemuka atau berhadapan dengan guru sementara bersanad, pengajian ilmu yang berkesinambungan diterima secara turun-temurun daripada ulama hingga sampai kepada penutur, pemilik atau pengarang asal, dalam konteks ini Imam Abu Hanifah.

Menurut Dr Sheikh Salim, kitab tauhid Fiqhul Akbar dipilih sebagai pembuka tirai talaqqi kerana ia mengandungi penjelasan konkrit tentang akidah Salafi yang sebenar. Bukan semua yang mengaku berpegang kepada ajaran Salafi menepati akidah Salafussoleh yang hakiki.

TAGS