Malaysia Dateline

‘Ulama’ duduk dalam kerajaan sudah tidak minat bersuara bela rakyat

Presiden AMANAH Mohamad Sabu hairan mengapa ulama-ulama yang duduk di dalam kerajaan pada hari ini tidak mampu untuk bersuara membela hak rakyat.

Katanya, ketika ulama-ulama ini menjadi pembangkang mereka mengajar rakyat dengan kalimah ‘Qulil Haqqa Walau Kaana Murran’ ertinya ‘katakan kebenaran walaupun pahit’.

“Barangkali mereka sudah berjawatan, mereka ada duit poket yang penuh, mampu membeli perbagai barangan walaupun mahal.

“Rakyat sedang tertindas dan dizalimi, rakyat tertekan dengan kesusahan dan kemiskinan akibat kelemahan urustadbir kerajaan, tetapi mereka masih lagi ketiduran,” sindir Mohamad Sabu.

Difahamkan ulama yang dimaksudkan Mohamad adalah Pas yang dulu begitu lantang menyuarakan kebajikan rakyat tidak kira apa jua masalah termasuklah membantah kenaikan harga barang.

Mohamad berkata demikian mengulas usaha Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan peringkat negeri menggerakkan ‘flash mob’ serentak seluruh negara pada petang tadi.

‘flash mob’ tersebut dianjurkan bagi mendesak kerajaan menurunkan semula harga barangan makanan pada paras yang terkawal.

Dengan tema ‘Rakyat Derita Kita Ke Jalan Raya’, program berkenaan diadakan pada jam 5 petang tadi.

‘Flash mob’ desak kerajaan tangani kenaikan harga barang di SOGO

‘Flash mob’ serentak seluruh negara diketuai oleh ADUN Templer Mohd Sany Hamzan merangkap Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH Negara serta Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan Asmaalif.

Mereka melakukan flash mob di hadapan pusat membeli belah SOGO yang disertai kira-kira 20 orang.

Ini sebagai permulaan

Di Sunway Piramid, Subang Jaya Selangor , Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor Azli Yusof yang mengetuai ‘flash mob’ menegaskan ini adalah suara rakyat sebagai peringatan pertama kepada kerajaan agar mendengar keluhan mereka.

Katanya, sejak kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harga barang semakin menjadi-jadi ia bertentangan dengan prinsip yang dibawa oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

“PH dapat kawal harga barang khususnya barang asas, kerajaan hari ini tidak dapat lakukan.

“Kita turun sebagai permulaan, kita yakin ramai akan bersama-sama untuk suarakan pandangan kita.

“Kita turun mewakili rakyat, kita akan lakukan lagi flash mob sehingga kerajaan berjaya turunkan harga barang. Jika tidak rakyat akan terus turun ke jalanan, inilah mesej yang kita hendak sampaikan kepada kerajaan,” katanya.

‘Flash mob’ di Sunway Piramid, Subang Jaya Selangor