Ulama membisu skandal 1MDB, kata Ahmad Awang

Penasihat umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Ahmad Awang kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang mengelirukan rakyat berhubung tindakan Amerika Syarikat (AS) berkaitan skandal 1MDB.

Ulama membisu skandal 1MDB, kata Ahmad Awang

Penasihat umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Ahmad Awang kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang mengelirukan rakyat berhubung tindakan Amerika Syarikat (AS) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau berkata rakyat dikelirukan kononnya AS cuba mencampuri hal ehwal Malaysia sedangkan katanya AS mengambil tindakan demikian kerana tidak mahu berkompromi terhadap orang luar yang melakukan kesalahan di negara mereka.

“Yang paling malang tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dikelirukan seolah-olah ini campur tangan pihak asing.

“Sebenarnya tidak timbul campur tangan asing kerana ini kesalahan orang Malaysia di negara mereka.

“Orang luar merompak, mencuri, mereka ambil tindakanlah. Cuma orang itu sekarang tak ada di negara itu.

“Umpamanya Malaysian Official 1 yang sampai hari ini tidak diketahui walaupun ramai mentafsir ia sebagai perdana menteri kita,” katanya kepada Malasyia Dateline.

Beliau berkata demikain ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengemukakan saman sivil untuk menyita lebih AS$1 bilion aset didakwa diperolehi melalui dana 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem ‘The Wolf of Wall Street’.

Dalam saman DOJ Amerika Syarikat yang difailkan, AS$731 juta dana 1MDB didakwa mengalir ke akaun bank rasmi ‘Malaysian Official 1’.

DOJ menyifatkan tokoh itu sebagai “pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB”.

Ahmad berkata, tiada siapa yang mahu membenarkan campur tangan asing namun Malaysia sendiri membisu berhubung skandal 1MDB yang sudah lama dibangkitkan.

“Kita memang tak setuju campur tangan asing dalam hal ehwal negara kita tapi dalam hal yang seprrti ini apatah lagi dalam konteks negara kita tidak mengambil langkah-langkah atas isu yang sudah dibangkitkan lama ini, tindakan DOJ ini perlu diberi kebebasan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap sikap alim ulama yang dilihat membisu dalam isu 1MDB.

“Hari ini kita berasa dukacita apabila orang dah mula kaitkan ulama-ulamavkhususnya yang terlibat dalam parti Islam sebagai ‘memakan dedak’.

“Ada ulama-ulama yang berjuang dengan nama Islam mereka inilah yang diharapkan untuk menentang kezaliman dan penindasan yang dirasi rakyat,” katanya.

“Inilah yang Rasulullah S.A.W. Paling takut. Baginda menyebut tentang ulama yang merosakkan umat. Apabila ulama rosak maka rosaklah kerajaan,” katanya.