Malaysia Dateline

Ulama Pas alami paling kurang lapan jenis ‘kesakitan’, akui parti tidak banyak membantu

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik mendedahkan beliau banyak merasai kesakitan sepanjang hampir 40 tahun berada dalam parti itu.

Menurutnya, Pas juga tidak membantu beliau ketika ditahan selama tiga tahun setengah.

“Saya mula terlibat dengan usrah Pas sejak awal 80-an. Tidak sedikit kesakitan yang dirasai. Diusir, dihalau, difitnah, disingkir, dicantas, diinjak, disisih, disalah tanggap oleh teman-teman sejemaah dan macam-macam lagi.

“Sewaktu saya dalam tahanan selama 3 tahun setengah, tidak banyak bantuan yang Pas berikan kepada keluarga saya.

“Sehingga adakalanya anak-anak saya terpaksa mengutip siput-siput di pantai untuk lauk sekeluarga,” katanya dalam catatan malam ini dari Jakarta, Indonesia.

Malah, pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu memberitahu Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) lebih banyak membantu keluarganya sepanjang dia ditahan.

“Bahkan JIM lebih ke depan membantu isteri dan anak-anak saya. Namun, saya tak pernah salahkan Pas,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Mokhtar berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menyalahkan Pas apatah lagi keluar dari Pas dan masuk JIM apabila dibebaskan dari tahanan.

“Yang buat kat saya begitu ialah orang Pas bukannya Pas. Orang Pas juga manusia, yang punya kelemahan dan kekhilafan.

“Saya bukan tak pernah menangis. Namun, tak pernah sekelumit pun saya terfikir untuk berdendam dengan Pas. Bahkan demi kebaikan Pas, saya sokong teman-teman tadi untuk naik membantu Pas.

“Sebab saya kenal Pas sebuah parti yang juga tidak punya apa-apa selain semangat dan keikhlasan ahli-ahlinya.

“Kembali dari tahanan saya tak masuk JIM. Bahkan saya tetap Pas dan bersama dengan Pas,” kata Mokhtar lagi.