Malaysia Dateline

Ulama Pas anggap bendera DAP akan naik bukan bendera putih jika PN jatuh

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mempersoal kewajaran kempen awam menaikkan bendera putih dengan mengaitkannya sebagai usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga berpendapat dia masih bersetuju jika aksi angkat bendera putih sekadar untuk memberitahu masih ada mangsa yang tertinggal untuk menerima bantuan.

“Saya setuju jika setakat itu. Tapi pengamatan saya tidak mengatakannya setakat itu sahaja, kerana ianya terangkum dalam tujuan dan maksud menjatuhkan kerajaan PN yang ada.

“Jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar tapi bendera DAP yang akan naik.

“Maaf, jika pengamatan saya tidak betul. Tapi perhatikan betul-betul,” tulisnya di Facebook pagi ini.

Mokhtar Senik

Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu berkata, situasi “kecoh sangat pasal bendera putih” juga tidak harus menenggelamkan segala kebajikan dan kebaikan yang dilakukan wakil rakyat Pas, Unit Amal dan sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah parti itu.

“Semacam mereka semua tak cakna kepada rakyat. Semacam mereka bangang sangat sehingga kena angkat bendera putih baru nak datang tolong. Tolong sikit.

“Para ustaz pun jangan cepat melatah sehingga terperangkap dengan isu yang dipolitikkan oleh pembangkang (PH) kerana dalam dunia politik ini banyak perkara yang kelihatan ‘benar’ tapi tujuannya adalah bathil,” dakwa ahli politik berserban itu lagi.