Malaysia Dateline

Ulama Pas anggap gagal fahami Islam, gagal fahami partinya

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik menempelak pihak yang gagal memahami pendekatan politik partinya.

Menurutnya, penganut parti sekular berdepan situasi sedemikian kerana tidak memahami Islam.

“Sejak dulu saya sudah sebut. Pendekatan politik Pas sukar difahami oleh mana-mana penganut parti sekular.

“Selagi mereka tidak memahami Islam selagi itu mereka akan gagal memahami Pas,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan menyenaraikan sekurang-kurangnya enam label yang dilontarkan kepada Pas akibat tidak memahami Islam.

“Guna agama untuk kepentingan politik, tidak konsisten, mudah u-turn, rasis, fanatik, menyokong perompak dan macam-maacam lagi,” hujahnya.

Orang buta

Mokhtar dalam catatan sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha itu turut menegaskan tidak peduli dengan pelbagai kecaman terhadap Pas.

Beliau yakin Pas tidak terjejas dengan kritikan tersebut sebaliknya parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, tegasnya, menjadi pemain utama dalam gelanggang politik negara.

“Pas tak terkesan pun dengan apa yang kamu nak kata. Matahari tetap matahari walaupun orang buta tidak dapat melihatnya.

“Yang penting kami (Pas) terus ke hadapan menjadi pemain utama dalam gelanggang politik negara,” ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu.

Bahkan, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang berkenaan secara sinis menyifatkan pihak yang mengecam partinya tertinggal di belakang.

“Maaf ya, kalau selepas kamu sedar dari tidur nanti, kami sudah jauh ke hadapan,” tempelak Mokhtar lagi.