Malaysia Dateline

Ulama Pas berderet kuliah walau PKP larang rentas daerah, negeri

Walaupun kerajaan belum mempertimbangkan kebenaran merentas daerah apa lagi negeri, jadual kuliah sepanjang bulan ini bagi Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik dilihat masih berderet.

Tinggal di Kuantan, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut mempunyai susunan jadual kuliah yang memerlukannya merentas ke tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu berkongsikan kembali jadual kuliahnya itu selepas solat Subuh tadi yang kali pertama dimuat naik pada 24 Februari lalu.

Mengikut jadual yang disusun pembantunya, Khairul itu, tiga hari berturut-turut Mokhtar perlu merentas negeri.

Bermula 4 Mac ini, pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan berkenaan dijadualkan berada di Pondok Jitra Kedah pada waktu Maghrib dan di Dewan Ulamak Kedah di sebelah Isyak.

Keesokan paginya, Mokhtar masih berada di Kedah iaitu di Madrasah Az-Zubaidiyyah, Merbok ketika waktu Dhuha.

Namun, dia dijadualkan menyampaikan kuliah selepas solat Maghrib di Padang Besar, Perlis yang berjarak kira-kira 138 kilometer dari Madrasah Az-Zubaidiyyah.

Semakan pihak masjid

Pada 6 Mac pula, Mokhtar kembali ke Kedah untuk kuliah Dhuha di Sungai Petani sebelum perlu menempuh perjalanan sejauh lebih 118 kilometer ke Masjid Taiping untuk kuliah Maghrib.

Keesokannya, dia yang pernah tular tahun lalu dengan gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan nombor telefon itu bakal menyampaikan kuliah Subuh di Tambun, Ipoh.

“Program parti (Pas) dan luar Kuantan hubungi Saudara Hanif: 016-292xxxx. Jadual akan diupdate dari masa ke semasa untuk semakan pihak masjid, surau dan penganjur,” kata Mokhtar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media 23 Februari lalu memberitahu larangan rentas sempadan dalam semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merujuk kepada daerah yang diketuai pegawai daerah.

Bahkan, empat hari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempertimbangkan kebenaran merentas daerah dan negeri walaupun program vaksinasi sudah bermula.

Sebelum ini, kerajaan pernah memberi kelonggaran terhadap pergerakan rentas sempadan.

Walau bagaimanapun berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19 ketara dengan pertambahan sejumlah kluster baharu di negeri yang sebelumnya rendah kes pandemik itu.

Kelantan adalah negeri paling terjejas akibat pergerakan rentas negeri dibenarkan dengan kira-kira 65 peratus daripada daerah di negeri itu yang sebelum ini dalam zon hijau, bertukar menjadi merah.