Malaysia Dateline

‘Ulama Pas bukan patung diperaga pakaian cantik di gedung mewah’

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, parti itu sejak dahulu lagi masuk pilihan raya secara berprinsip.

Menurutnya, integriti bagi Pas adalah integriti iman bukannya integriti yang diterjemah daripada kamus politik sekular barat.

Dia juga menegaskan bahawa kemenangan Pas dalam pilihan raya bukan kerana penyalahgunaan kuasa dan Pas menang bukan kerana dunia lawan dunia.

“Sejak dahulukala Pas menang kerana benar lawan kebatilan dan kejujuran lawan kejahatan.

“Asolah perjuangan inilah yang diteruskan oleh generasi kepimpinan Pas silih berganti. Kepimpinan ulama yang dibawa oleh Pas bukan slogan kosong sekadar untuk menarik minat ulamak menyertai Pas.

“Ulama dalam Pas bukan patung-patung yang dipakaikan dengan pakainan cantik untuk diperagakan kepada pelanggan di gedung-gedung mewah.

“Tapi kepimpinan ulamak itu bermakna mempertahankan prinsip dan integriti agama dan hukumnya dalam berpolitik dan memerintah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Mokhtar yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu sebagai reaksi pelbagai analisis rambang pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengenai langkah-langkah politik Pas.

Mengulas lanjut, dia berkata, sesiapa pun yang memimpin Pas sama ada ulama atau profesional, tegasnya, wajib mempertahankan kepimpnan ulama.

Sehubungan itu, katanya, kewajipan seluruh ahli Pas bukan sahaja memastikan mereka istiqomah dengan Pas tetapi memastikan juga Pas istiqomah dengan dasar kepimpinan ulama dan integriti iman.

“Kerana itu Pas tidak pernah segan dengan kekalahan bahkan sangat bangga kerana berjaya mempertahankan asolah perjuangan dan prinsipnya.

“Jangan ingat kami malu dengan kekalahan tapi kami sangat malu jika parti ini menggadaikan prinsipnya demi sebuah kemenangan,” tambah Mokhtar lagi.