Malaysia Dateline

Ulama Pas dakwa Facebook padam ‘posting’ isu Mujahid Siber

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mendakwa hantarannya di Facebook berkaitan isu Mujahid Siber iaitu tentera siber di bawah parti itu telah dipadam oleh media sosial tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tersebut menerangkan kewajaran saranannya yang turut memetik ayat 191, surah al-Baqarah berkenaan seruan membunuh musuh.

Posting saya mengenai perlunya serangan yang sama dilakukan oleh cybertrooper PN ke atas cybertrooper PH telah didelete oleh FB.

“Saya saarankan demikian kerana nampak makin melampau serangan mereka (PH). Fitnah dah jadi makanan mereka,” ujarnya.

Mokhtar yang juga Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu berhujah lagi bahawa dia bukannya menyerang tentera siber PH dengan fitnah.

“Kita bukan suruh balas dengan fitnah balik kat mereka (PH) tapi menangkis fitnah mereka supaya netizen taHu apa yang sebenarnya,” kata Mokhtar lagi.

Sebelum ini, Mokhtar menganggap serangan PH melalui tentera siber terhadap kerajaan ‘tebuk atap’ PN sebagai “semakin rancak, ganas dan hilang segala adab-adabnya.”

Justeru, dia mempersoal apa tindakan Mujahid Siber yang difahamkan diterajui Nasrudin Hassan sebagai Komander Mujahid Siber Pas.

“Mujahid Siber dok buat apa lagi? Bukankah Allah telah berfirman: Maksudnya;

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu. Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

“Dan janganlah kamu perangi mereka di Masjidilharam, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu, maka bunuhlah mereka. Demikian balasan bagi orang-orang yang kafir. Surah al-Baqarah, ayat 191,” dipetik Mokhtar.

Mokhtar Senik

Dia turut mengakhiri hantarannya itu yang kemudiannya dikesan telah ‘hilang’ dengan, “Jangan lemah.”

Tahun lalu, Muktamar Pas di Kota Bharu, Kelantan menyaksikan perwakilan Pemuda Pas yang kecewa dengan prestasi mujahid siber yang dianggap gagal menyaingi pihak lawan dalam sebarang bentuk serangan melibatkan isu-isu hangat di media sosial.

Sementara itu, Nasrudin dalam kenyatan media pada 16 September 2018 menegaskan Mujahid Siber Pas adalah pasukan sukarelawan yang berkhidmat dan berjuang atas semangat jihad Fi Sabilillah.

Kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, Mujahid Siber Pas menjadi pendekar dan pejuang mempertahankan Islam serta berdepan musuh parti itu di alam siber walaupun tiada upahan material yang lumayan.