Malaysia Dateline

Ulama Pas lantik saya Pengerusi NGO sekolah Pondok, kata Mokhtar Senik

Dewan Ulama Pas Pusat, melantik Ahli Jawatankuasanya Mokhtar Senik sebagai Pengerusi badan bukan kerajaan (Ngo) Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia.

Mokhtar berkata, walaupun jawatan yang diberikan bukan seperti pelantikan jawatan dalam syarikat kerajaan (GLC) yang dibayar gaji dan elaun, namun beliau menerimanya biarpun terpaksa keluar belanja sendiri.

Kata Ulama Pas itu lagi, jawatan yang diberikan kepadanya dapat membuatkan beliau berdampingan dengan para ulama.

“Institusi ini akan melahirkan pejuang-pejuang tanah air. Melahirkan pemimpin politik Islam dalam kalangan tok guru yang memainkan peranan penting memerangi penjajah.

“Institusi ini tidak pernah berjaya dijajah oleh penjajah yang menguasai Tanah Melayu selama 446 tahun. Hingga kini institusi ini terus tegak dan insyaallah akan terus bangun dengan gagah memayungi ummah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Tambahnya, jawatan yang disandangnya itu dapat mengimbau kenangan beliau sebagai pelajar pondok yang serba sederhana dan dhaif.

Malah beliau berkata, pondok terkenal dengan didikan taswuf dan amalan sufi yang benar-benar memberikan nasihat kepadanya erti sebenar sebagai hamba Allah.