Malaysia Dateline

Ulama Pas tempelak PH jangan jadi khadam orang kafir

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menyenaraikan lapan perkara yang dianggapnya antara bab dalam ‘kitab’ sejarah politik di negara ini.

Dalam bab lima, dia yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menegaskan jangan jadi khadam kepada orang kafir kerana bakal menjadi hina.

“Jangan jadi khadam orang kafir, nanti kamu jadi hina. Juga terdapat dalam kitab sejarah politik Malaysia Melayu Muslim sanggup jadi khadam orang kafir.

“Akhirnya, Allah hina mereka sehingga jatuh tersembam,” tempelak bekas Ketua Ulama Pas Pahang dipercayai merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) selepas mendapat mandat rakyat pada PRU14.

Hal ini kerana dalam huraian bagi ‘bab’ lapan iaitu “jangan menang dengan fitnah nanti kamu akan cepat tumbang”, Mokhtar menyebut tentang tempoh 22 bulan pentadbiran iaitu di bawah PH.

“PRU14 menyaksikan ada parti yang menang kerana berjaya menjaja fitnah siang dan malam.

“Namun, dalam tempoh 22 bulan sahaja mereka jatuh menjunam,” katanya yang akan menyambung bab tersebut kerana alasannya “kitab itu agak tebal.”

Mokhtar juga mengulangi isu orang kafir dalam dua bab lain iaitu “jangan berpecah nanti kita lemah” dan “jangan langgar baiah nanti kamu dimakan sumpah.”

“Sejarah juga membuktikan kerana Melayu Muslim di Malaysia ini berpecah maka orang kafir yang minoriti boleh menguasai mereka.

“Ya. Terdapat juga dalam kitab tersebut sejarah orang langgar baiah. Akhirnya jadi hina dengan menjilat-jilat orang kafir dan semakin tidak laku dalam politik negara, bercakap pun sudah merapu cuma air liur saja belum meleleh dan menitis,” sinisnya.

Walau bagaimanapun, sindiran Mokhtar terhadap PH itu dilihat ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.

Hal ini kerana Pas sendiri mempunyai kerjasama politik dengan parti dianggotai bukan Islam iaitu MCA, MIC, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Untuk rekod, PBS misalnya mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi di kawasan Bumiputera bukan Islam khususnya di kawasan Kadazan-Dusun.

Empat lagi ‘bab’ dalam kitab Mokhtar yang juga pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu ialah:

– Jangan sombong dengan kuasa.
Sejarah telah membuktikan banyak parti yang tersembam lantaran ketika berkuasa mereka sombong dan tidak peduli rakyat.

– Jangan suka singkir orang nanti orang singkir kita.
Sejarah politik Malaysia juga membuktikan ada ahli politik yang sentiasa cari gaduh dengan orang-orang kanannya. Akhirnya, beliau pula disingkir.

– Jangan tamak dan gila kuasa.
Sejarah juga membuktikan dalam politik Malaysia ada orang yang ghairah nakkan jawatan namun hingga kini beliau tak dapat-dapat.

– Peganglah Islam nescaya kamu tenang.
Telah terbukti parti yang memegang teguh agama Allah menjadi parti yang paling tenang. Paling ke hadapan dan sedang melangkah bergaya ke gerbang kemenangan.