Ulama perlu upaya dan kepintaran politik untuk memimpin

Ulama perlu upaya dan kepintaran politik untuk memimpin

Ulama yang mahu diketengahkan sebagai pemimpin perlu mempunyai keupayaan dan kepintaran politik bagi mengelakkan berlakunya kesilapan dan kepincangan sehingga menjejaskan imej sesuatu institusi, ujar Timbalan Penasihat Umum Amanah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ulama yang mahu diketengahkan sebagai pemimpin perlu mempunyai keupayaan dan kepintaran politik bagi mengelakkan berlakunya kesilapan dan kepincangan sehingga menjejaskan imej sesuatu institusi, ujar Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

“Kita tidak harus terpedaya dengan pangkat,  gelaran dan panggilan ulama atau ustaz tanpa melihat dan menimbang keupayaan atau kepintaran politik yang sebenar yang dimiliki oleh seseorang.

“Jika tidak, akan berlaku kesilapan dan kepincangan dalam meletakkan kepercayaan sehingga berlaku kerosakan pada imej Amanah,” ujarnya menjawab peranan yang patut digalas oleh ilmuan agama dalam parti itu.

Menurut Ustaz Abdul Ghani, sebagai parti Islam ulama mempunyai martabat dan peranannya yang tersendiri yang diperakui oleh semua pimpinan parti Amanah.

Tambahnya, oleh kerana perlembagaan Amanah dalam proses pemantapan maka kedudukan serta peranan Penasihat Umum dan ahli jawatankuasanya yang terdiri dari ilmuan dari pelbagai bidang masih dalam perumusan pihak yang bertanggungjawab.

Timbalan Setiausaha Agung Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus hari ini mengumumkan pindaan perlembagaan Amanah yang meliputi peranan dan tanggung jawab Penasihat dan Timbalan Penasihat Umum parti telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdul Ghani yakin pengalaman pemimpin atasan Amanah dalam menghadapi karenah pimpinan politik dalam parti terdahulu (Pas) memberi ketajaman daya berfikir dan kebolehan untuk merumuskan kaedah terbaik bagi menyusun atur hubungan profesional dengan ulama secara lebih berkesan demi mencaturi tindakan pengurusan dan politik parti.

Mengulas lanjut peranan ilmuan agama dalam Amanah, beliau berkata peranan mereka dalam siri seminar Nunji (Nadwah Ulama Nahdah Jadidah) dan seminar seminar ilmu tentang Maqasid Syariah telah menghasilkan tujuh ketetapan iaitu:

1. Meningkatkan tahap keberkesanan politik Islam melalui proses demokrasi dan pendemokrasian dalam kerangka kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Negara.

2. Memantap dan memperkukuhkan usaha secara berterusan dan gigih untuk menggali semula khazanah Siyasah Syariah sebagai panduan berpolitik dan bernegara, dengan mengambil kira suasana dan keperluan setempat bagi menghasilkan “Fiqh Siyasah Acuan Malaysia”.

3. Memperkukuh dan memperjuangkan konsep Muwathonah berpandukan kepada memenuhi kebenaran, dan mempertahankan sebarang pencabulan terhadapnya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara berpandukan ketetapan Siyasah Syariah.

4. Memperjuangkan bahawa Syariat Islam perlu dipersembahkan dalam mafhum menyeluruh mengikut kebijaksanaan pendekatan dan tidak terhad kepada menyamakan Syariat dengan hanya Hudud semata-mata.

5. Menetapkan dan memperjuangkan bahawa satu dasar Islam menepati makna Rahmatan Lil Alamin, diterjemahkan melalui wujudnya sebuah Negara Madani berteraskan kepimpinan beramanah kepada rakyat yang berbagai kaum dan agama di Malaysia.

6. Meyakini dan menghayati bahawa kepelbagaian jamaah tidak boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan budaya permusuhan dan budaya takfiri tetapi hendaklah diurus melalui adab perbezaan yang ditetapkan.

7. Meyakini bahawa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin hendaklah diterjemahkan dalam amalan politik pemuafakatan dengan semua pihak yang berkongsi cita-cita yang sama dan beriltizam dengan persetujuan yang dibuat bersama.

“Berpuluh ilmuan dan ulama lama dan muda yang terpelajar dan berbakat dalam penulisan dan pengkajian mereka ikut menyertai parti Islam (Amanah) yang progresif dan inklusif ini adalah bukti bahawa parti ini akan membawa obor kemenangan rakyat, umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya untuk masa-masa yang akan datang,” ujar beliau.

Wawancara penuh dengan Ustaz Abdul Ghani boleh diikuti melalui akhbar rasmi Amanah bil. 11 bertarikh 7-13 Ogos 2016.

TAGS