Ulama terkemuka Kedah, Tuan Guru Salleh Musa meninggal dunia

Ulama terkemuka Kedah, Tuan Guru Salleh Musa meninggal dunia

Ulama terkemuka Kedah, Tuan Guru Salleh Musa telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.15 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada usia 87 tahun.

Anak kepada pasangan Tuan Guru Musa Salleh dan Khatijah Md Saad Mehamad ini dilahirkan pada 8 Febuari 1929 di pekan Sik. Beliau anak ketiga daripada 8 beradik.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sik sebelum menimba ilmu di Pondok Tuan Hussin Kedah, Pondok Tuan Guru Mad Nawawi Gurun Kedah dan Pondok Pak Chu Him Gajah Mati, Pendang, Kedah sebelum melanjutkan pengajian ke Darul Ulum Makkah.

Tuan Guru Salleh Musa mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka di antaranya Syeikh Ismail Fatani, Syeikh Yassin Al Fadani, Syeikh Abd Qadir Mandili, Syeikh Syed Alawi Al Maliki, Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh-syeikh muktabar yang lain.

Mendirikan rumah tangga dengan Hatiah Hanafi, beliau dikurnia dua orang cahaya mata semasa belajar di Makkah.

Tuan Guru Salleh Musa memiliki 11 orang cahaya mata.

Sekembali ke tanah air pada 1964, beliau berkhidmat membantu mengajar di pondok ayahnya di pekan Sik dan kemudian menggantikan ayahnya sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah.

Sepanjang hidupnya, beliau menumpukan dakwah sepenuh masa di pondok pengajian dan menyampaikan kuliah di setiap daerah di Kedah.

Bagi mengenang kegigihan beliau dalam bidang dakwah dan ilmu, Sultan Kedah menganugerahkan beberapa pingat kebesaran dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah 2009.

Pada 2010, kerajaan negeri menganugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah 2011 kepada Allahyarham dan dinobat Tokoh Ilmuan Daerah Sik oleh Pegawai Daerah Sik.

Tuan Guru Salleh Musa ialah tokoh ulama tauhid di alam Melayu.

Pada setiap bulan Ramadan, pelajar-pelajar pondok dari seluruh Malaysia dan Thailand akan berkumpul di pondok pengajian beliau untuk mendalami ilmu tauhid.

Kuliah mingguan beliau pada setiap Jumaat dihadiri lebih 3000 orang.

Moga roh Allahyarham ditempatkan Allah SWT di kalangan para nabi, siddiqin, para syuhada dan para salehin. Alfatihah.

COMMENTS

Wordpress (0)