Malaysia Dateline

Ulamak Pas bimbang acara hiburan esok mengundang bala tuhan

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani mengaitkan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 yang berlangsung esok dengan bala tuhan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Shah Alam itu juga meminta sesiapa yang mengenali penganjur program tersebut untuk membatalkan acara yang dijadualkan disiar secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Ada tak sesiapa di kalangan kita yang boleh dan memberitahu kepada penganjur ini, atau sesiapa yang ada kuasa untuk membatalkan program sebegini?

“Dunia sedang dimurkai tuhan, kita pula sibuk mengundang bala tuhan. Tak sedar sedar lagikah?” kata penceramah yang pernah mengadakan solat tahajjud semasa Ramadan lepas secara langsung di Facebook itu.

Susulan hantaran menerusi Facebook rasminya kira-kira jam 5 petang tadi, rata-rata warganet mengecam dan menyindir penceramah yang terkenal dengan kuliah agama berkaitan cerita tentang azab kubur itu.

Kira-kira 3,000 emoji dengan hampir 300 komentar dan 280 perkongsian bagi hantaran berserta poster acara tersebut yang tertera ungkapan “mohon dibatalkan” selepas dua jam dimuatnaik di media sosial itu.

Majoriti warganet berpendapat Ahmad Dasuki tidak perlu berkata demikian memandangkan Pas pada masa ini adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pas dah dalam kerajaan. Kenapa nak kena mohon-mohon lagi. Kalau ada istiqamah batalkan sajalah. Barulah rakyat nampak beza Pas perintah banding DAP,” tegas Azmi Yunus.

Selain Ahmad Dasuki, pemimpin Pas lain turut menyuarakan permohonan agar ABPBH ke-33 esok dibatalkan seperti Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan merangkap Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Walau bagaimanapun, terdapat warganet mempersoal bantahan tersebut yang dilihat terlalu suntuk.

“Kenapa tak buat cadangan untuk batalkan majlis dari bulan sudah? Sepatutnya dari bulan sudah lagi buat kempen minta batal.

“Ini tidak. Benda nak jadi esok dah, baru terhegeh-hegeh,” bidas Fitri Faudzal.

Sementara itu, Menteri Kanan (keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang tadi berkata, program hiburan berada di bawah industri kreatif di mana termasuk dalam senarai aktiviti dibenarkan dan sudah dinyatakan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lalu.