Ulamak Pas doakan “pakatan yang jahat” hancur walaupun Selangor ada Exco, Adun Pas

Ulamak Pas doakan “pakatan yang jahat” hancur walaupun Selangor ada Exco, Adun Pas

Ahli Perhubungan Pas Selangor yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 1, Ahmad Dusuki Abd Rani mendoakan “pakatan yang jahat” hancur selepas mengimamkan solat hajat di ibu negeri itu semalam.

Tanpa secara khusus menyebut pihak yang dimaksudkan, Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor itu menganggap negeri Pakatan Harapan tersebut dijajah dengan suasana yang tidak menuruti Islam.

Sehubungan itu, beliau memohon agar partinya diberi peluang mentadbir Selangor walaupun pada masa ini terdapat pemimpin Pas berada di Exco Kerajaan Negeri dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Di malam yang baik ini, Ya Allah, kami berkumpul di padang ini mengharapkan kejayaan kepada Parti Islam Se-Malaysia, Pas, khususnya di bumi Selangor ini dalam pilihan raya yang akan kami lalui nanti.

“Kami memohon, mengadu kepada-Mu Ya Allah betapa lamanya bumi Selangor ini dijajah dengan suasana yang tidak (dengan) cara agama.

“Kami memohon kepada-Mu Ya Allah agar diberi peluang kepada Parti Islam Se-Malaysia, Pas, pula untuk memerintah bumi Selangor ini.

“Berilah peluang untuk melihat keadilan Islam. Berilah peluang untuk melihat betapa indah agama-Mu ini di bumi bertuah ini,” katanya.

Ahmad Dusuki juga menyebut ada Adun mereka di negeri tersebut disekat perbelanjaan dan peruntukan selain mendakwa terdapat Adun yang melarikan kerusi Pas.

Justeru, beliau menyeru supaya Allah membalas perbuatan mereka terbabit.

“Pada-Mu kami pohon untuk membuka hati-hati mereka itu. Ataupun selayaknya Kamulah yang membalas kepada mereka itu Ya Allah.

“Kami pohon untuk mengadu pada kamu Ya Allah, betapa jemaah ini dikhianati oleh mereka-mereka yang melarikan kerusi kami.

“Kami pohon Ya Allah betapa mereka ini selayaknya Kamu membalasnya. Kamulah yang sebaik-baiknya yang membalas.

“Tidakkah Kamu menyebut doa mereka yang dizalimi itu tidak akan ditolak oleh-Mu. Kami pohon kepada-Mu segala pakatan yang mereka rancang itu dihancurkan (dan) lebur mereka Ya Allah,” ujarnya.

Doa yang dipimpin Ahmad Dusuki itu sempena sambutan 10 tahun Pas berada dalam kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Selanjutnya Ahli MBSA Zon 1 meliputi Seksyen 1 hingga 6 dan 14 itu mendoakan agar Allah melemahkan “pakatan yang jahat” itu.

“Ya Allah jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan Ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera ahzab itu Ya Allah,” pintanya.

Doa tersebut juga khusus untuk kemenangan Pas yang membentuk blok Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Demikianlah kami akan hadapi nanti Ya Allah. Demikian juga kami akan berhadapan dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kami pohon pada-Mu ya agar dibuka hati setiap pengundi-pengundi di kalangan kami ini agar melihat bagaimana kezaliman yang dilakukan oleh Barisan Nasional sebelum ini terhadap rakyat bumi Selangor dan bumi Malaysia ini,” doa Dusuki.

Pendakwah itu kemudiannya berdoa supaya kubur pengundi Pas menjadi “damai dan tenang” selain setiap ahli dan penyokong Pas “semuanya dalam syurga”.

“Jangan jadikan kubur mereka antara kawah-kawah neraka. Jadikanlah tangan yang memangkah Parti Islam Se-Malaysia, Pas, kubur mereka menjadi damai dan tenang.

“Di atas kesaksian mereka itu, jadikanlah tangan tangan-mereka itu sebagai saksi di hadapan-Mu nanti Ya Allah.
Doa pada pengundi.

“Kami pohon kepada-Mu agar amalan yang baik ini dalam lima tahun sekali, yang mereka pangkah nanti akan bertanggungjawab di hadapan-Mu nanti, hanya melihat Islam sebagai cara hidup di kalangan mereka,” rintihnya.

Selepas berdoa agar Pas tidak berpecah dan mendakwa hanya Pas “membawa ajaran agama-Mu”, Ahmad Dusuki selanjutnya mengaitkan pertempuran Pas pada PRU-14 ini dengan Perang¬†Ahzab.

“Hancurkanlah tentera-tentera ahzab itu Ya Allah, hancurkanlah pakatan ahzab itu Ya Allah, hancurkanlah kekuatan mereka Ya Allah.

“Jadikanlah perpecahan di kalangan mereka dan jadikanlah kekuatan kami pula dan tegakkan islam di muka bumi ini.

“Inilah janji kami, inilah permohonan kami. Berilah pertolongan sebagaimana kamu telah memberi pertolongan kepada nabi kami dalam perang Ahzab Ya Allah,” doa Ahmad Dusuki lagi.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES