Ulamak Pas gesa DAP berhenti campur tangan urusan fatwa

Ulamak Pas gesa DAP berhenti campur tangan urusan fatwa

Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim Guan Eng berhenti campur tangan dalam urusan fatwa-fatwa negeri seperti berlaku sebelum ini melibatkan fatwa penggunaan Kalimah Allah.

Ketuanya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri P.Pinang) 2004 jelas menuntut fatwa negeri Pulau Pinang terus dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang.

“Fatwa negeri tidak perlu melalui ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Lim Guang Eng terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengakuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad Rabu lalu bahawa berlaku campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan Pas Pulau Pinang.

Kejadian itu, katanya, berlaku pada 2010.

Beliau mendakwa demikian selepas surat rasmi yang dikeluarkan oleh Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim kepada bekas mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad tersebar di media sosial.

Bagaimanapun Abdul Malik menafikan perkara itu dan menegaskan, tidak ada campur tangan dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan.

Sebaliknya beliau berkata, apa yang berlaku hanyalah keinginan kerajaan supaya mufti yang mempengerusikan majlis fatwa membincangkan keputusan mereak dengan kehadiran wakil kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, dakwaan tersebut adalah berat dan serius, jelas melibatkan campur tangan politik kerajaan DAP dalam proses fatwa yang mungkin tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan negeri.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai oleh bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, amat bahaya jika DAP menjadi sebagai sebahagian daripada kerajaan yang memerintah negara seperti yang diinginkan Pakatan Harapan.

“Sekiranya dengan hanya memerintah negeri, DAP sudah terlalu berani mencampuri urusan agama Islam, alangkah bahaya sekiranya DAP menjadi sebahagian pemerintah negara (moga Allah jauhkan) sebagaimana impian Pakatan Harapan. Malang sekali, sebahagian orang Islam terpesona dengan lakonan DAP berkaitan Islam,” katanya.