Ulamak Pas jangan ‘lebih sudu dari kuah’

Ulamak Pas jangan ‘lebih sudu dari kuah’

Pas khususnya Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pusatnya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dinasihati agar tidak menjadi ‘lebih sudu dari kuah’ apabila mengitar semula modal Umno dalam meletakkan kesalahan kepada DAP dalam apa juga isu membabitkan Islam dan orang Melayu.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berkata, dakwaan Khairuddin kononnya Amanah menjadi ‘penyapu’ dalam membersihkan imej DAP yang didakwa menentang Rang Undang-undang 355 (RUU 355), dan pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad turut menentang RUU persendirian ahli parlimen Marang itu jelas berunsur fitnah.

Ini kerana RUU 355 belum dibahaskan di Dewan Rakyat ekoran permohonan ahli parlimen Marang untuk menangguhkan pembentangan walaupun setelah dua kali usul itu dibacakan.

Malah terkini, ujarnya perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kesediaan kerajaan untuk membentangkan RUU 355 itu.

“Jadi apa sebenarnya peranan Pas selain menjadi tukang sorak dan tukang heboh?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Khairuddin yang sanggup menjelaskan tentang RUU 355 bersama menteri Umno di Britain tetapi gagal melakukan kempen yang serupa kepada kumpulan sasar di negara ini.

Menurut Zulkefly, RUU 355 bukan sahaja dipertikaikan DAP malah parti-parti komponen BN termasuk Umno Sabah dan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) yang memerintah Sarawak.

“Sepatutnya Khairuddin dan Pas menjelaskan tentang RUU 355 kepada kumpulan-kumpulan sasar di Malaysia khususnya anggota Parlimen dan bukan membuang masa menjelaskan tentang RUU 355 di luar negara,” katanya.

Tindakan Khairuddin yang hanya menyalahkan DAP dalam isu ini, jelas beliau hanya mengulangi skrip lama Umno.

“Ketika Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, Umno menggelar Pas sebagai ‘kuda tunggangan DAP’. Kini apabila Amanah bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan, Pas pula mengulangi tuduhan Umno kononnya ‘Amanah khadam DAP’.

“Memang sahlah Pas ganti Umno,” katanya sinis.

Beliau juga hairan dengan sikap talam dua muka Pas dalam hubungan dengan DAP apabila masih terus menganggotai kerajaan negeri di Selangor bersama DAP dan mahu terus menjalin kerjasama dengan PKR walaupun parti itu turut menjalinkan hubungan dengan DAP.

“Jelas pendirian cacamerba Pas ini mengelirukan,” tegas beliau.

Zulkefly juga menegur sikap Pas yang mempersoalkan perlantikan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai penasihat strategi kerajaan Pulau Pinang dengan mendakwa kononnya pemimpin PKR itu akan diperalat DAP bagi menguasai Pakatan Harapan.

“Lupakah Pas bahawa presidennya pernah menawarkan diri menjadi ‘penasihat kerajaan’ manakala Ketua Dewan Ulamaknya kini menjadi ketua kluster dakwah majlis perundingan Islam yang ditubuhkan kerajaan BN?

“Siapa sebenarnya yang makan dedak?” soal beliau.  

COMMENTS

Wordpress (0)