Malaysia Dateline

Ulamak Pas persoal sikap ibu biar anak tidur sebantal dengan musuh Allah

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik menegur sikap sebahagian kaum ibu sanggup menerima lelaki bujang yang tidak mendirikan sembahyang sebagai menantu.

Sebaliknya, kata bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu, mereka dilihat jijik pula untuk menerima lelaki yang sudah berkahwin sebagai menantu walaupun merupakan imam solat.

“Mak-mak sekarang. Sanggup mereka bermenantukan lelaki tak solat asalkan bujang. Tapi sangat jijik menerima menantu lelaki poligami walaupun imam solat,” keluhnya.

Sehubungan itu, Mokhtar yang juga pemilik Pusat Pendidikan Islam Annur Jalan Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor di Kuantan mengingatkan bahawa Allah memusuhi mereka yang berkasih sayang dengan musuh-Nya.

“Sedangkan tidak solat itu tandanya mereka musuh Allah. Macamana mereka boleh biarkan anak perempuan mereka tidur sebantal dengan musuh Allah.

“Sesungguhnya orang yang berkasih sayang dengan musuh Allah itu dimusuhi Allah,” ujarnya lagi dalam catatan beliau di Facebook hari ini.