Ulamak PAS Selangor selar DAP, Amanah kerana kerusi PBT

Ulamak PAS Selangor selar DAP, Amanah kerana kerusi PBT

Ketidakpuasan hati PAS dalam isu pengagihan kerusi ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terus membara apabila Dewan Ulamak PAS negeri mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menghina rakyat negeri itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketidakpuasan hati PAS dalam isu pengagihan kerusi ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terus membara apabila Dewan Ulamak PAS negeri mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menghina rakyat negeri itu.

Naib ketuanya Nik Bakri Nik Mat berkata, tindakan DAP memberikan kerusi kuota mereka kepada Amanah membuktikan parti itu tidak mempedulikan kepercayaan yang diberi rakyat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kedudukan dan keuntungan politik.

“Amanah tanpa maruah dan harga diri, tanpa malu kepada rakyat Selangor di samping membelakangkan dan menghina mandat yang diberikan oleh rakyat meminta jawatan ahli majlis tanpa hak.

“DAP pula mengiakan penghinaan terhadap rakyat Selangor dengan memberi laluan dan jawatan ahli majlis,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau juga, jika Umno BN menzalimi rakyat dengan pelbagai isu secara terang-terangan, Amanah dan DAP pula menzalimi rakyat Selangor dengan menghina dan mencabuli mandat dan maruah rakyat.

“Mereka sanggup membuang rakyat demi harapan serta agenda mereka.

“Diseru kepada rakyat Selangor agar memahami dan mengambil pengajaran bahawa jangan sesekali memilih pemimpin dan parti yang sanggup membuang perkataan keramat dalam perjuangan iaitu rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, parti baru Amanah mendapat 10 kerusi daripada 34 kerusi PBT yang diminta di Selangor.

DAP dan PKR bersetuju memberikan kerusi kepada Amanah yang menganggotai Pakatan Harapan manakala PAS bertegas tidak mahu memberikan kerusi mereka kepada parti itu.

Nik Bakri juga berkata, Amanah dan DAP tidak mempedulikan sensitiviti rakyat apabila menukar nama pakatan politik daripada ‘Pakatan Rakyat’ kepada ‘Pakatan Harapan’.

“Rakyat Selangor telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 13. Perkataan keramat dalam PRU yang lepas ialah ‘Rakyat’.

“Hari ini Amanah dan DAP tanpa mempedulikan sensitiviti, tanpa mengambil kira mandat dan hak yang diberikan kepada Pakatan Rakyat telah membuang perkataan ‘rakyat’ digantikan dengan perkataan ‘harapan’.

“Isunya betapa mereka sanggup membuang dan meminggirkan mandat rakyat Selangor dan membuang perkataan ‘rakyat’ demi memenuhi harapan peribadi pemimpin yang kecewa dan pemimpin yang rakus kepada kuasa,” katanya.

PKR yang menunjangi pentadbiran kerajaan negeri Selangor September lalu bersama DAP dan Amanah membentuk Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat selepas PAS pada muktamar Jun tahun lalu memutuskan hubungan dengan DAP.

Tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP disifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai ‘menguburkan’ Pakatan Rakyat.

TAGS