Ulang tahun ke-40 Siti Nurhaliza hari ini

Ulang tahun ke-40 Siti Nurhaliza hari ini

Ratu Pop Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan menyambut hari jadinya yang ke-40 hari ini.

Penyanyi pop yang menerima pelbagai anugerah itu merupakan penyanyi Malaysia yang paling berjaya, menerima lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa dan membuat persembahan dalam lebih 50 konsert sepanjang penglibatan beliau selama 23 tahun dalam industri muzik.

Pada masa ini, beliau tersenarai sebagai salah seorang artis Malaysia yang terkaya, paling berpengaruh, menerima paling banyak anugerah dan menghasilkan paling banyak single.

Siti Nurhaliza juga ialah salah seorang artis Malaysia yang laris. Jualan album beliau sahaja menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia pada 2001.

Setakat ini jualan album beliau mencecah lebih enam juta unit.

Biarpun mencapai banyak kejayaan, penyanyi “Anta Permana” itu berkata tiada apa lagi yang dihajatkan beliau selain daripada kesihatan yang baik dan mampu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Lagipun, saya sudah menerima hadiah yang paling berharga, anak perempuan saya, Siti Aafiyah,” katanya sebagaimana dipetik dalam satu laporan akhbar baru-baru ini.

Siti Nurhaliza dan ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menikah pada 21 Ogos, 2006 dan Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lepas.

Selepas lebih setahun berehat untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, Siti Nurhaliza akan kembali beraksi untuk peminatnya pada tahun ini.

Ikon muzik itu akan mengadakan persembahan di empat negara – Indonesia (21 Feb), Singapura (2 Mac), Malaysia (16 Mac) dan England (22 April).

Penyanyi sensasi itu akan membuat persembahan di Royal Albert Hall yang ternama di London pada 22 April nanti, yang merupakan persembahan kedua beliau di venue yang tersohor itu.

Kali pertama Siti Nurhaliza membuat persembahan di London ialah pada 2005 sempena ulang tahun sedekad penglibatan beliau dalam industri muzik, menjadikan beliau artis ketiga Asia yang menghiburkan peminat di Royal Albert Hall.

“Konsert ini akan memberikan kelainan, terima kasih kepada peminat setia, ‘Sitizoners’ dan peminat yang menanti saya kembali,” kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini untuk mengumumkan konsert jelajah beliau, “Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour’.

Bersempena konsert jelajah itu, satu dokumentari berjudul “They Call Me Siti: One Woman, Two Decades of Music, Ten Thousand Miles” akan ditayangkan di layar perak.

Penerbit Eksekutif Shiraz Project, Shirazdeen Karim yang akan mempromosikan Siti Nurhaliza sebagai Ratu Muzik telah memperuntukkan lebih RM10 juta bagi tujuan itu, menjadikannya mungkin konsert jelajah yang mempunyai belanjawan tertinggi bagi mana-mana penyanyi Malaysia.

Tiket untuk konsert di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini berharga RM1,295 (termasuk berjumpa dan beramah mesra), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 boleh didapati di myticket.asia.