Malaysia Dateline

Ulangtahun ke-50 tragedi 13 Mei

Kebanyakan kita mempunyai pengalaman berdepan dengan luka. Jikalau ia berdarah, kita perlu membersihkannya dengan air, kemudian cairan antiseptik, sebelum disapukan iodin dan dibalut rapi. Sememangnya kita akan rasa pedih apabila luka dijirus dengan air, lebih-lebih lagi apabila antiseptik disapu.

Bagaimanapun, kita tahu ini cara yang terbaik, jikalau dibandingkan dengan menutup luka tanpa dibersihkan dan dirawat. Ia akan berakhir dengan keluar nanah, dan boleh menjadi lebih parah jikalau kuman merebak.

Demikianlah juga apabila kita berdepan dengan sejarah, misalnya tragedi hitam 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969. Ia memberi kesan yang luas, secara makro dan mikro. Dari segi makro, ia mempengaruhi senario politik untuk 50 tahun selepasnya, dari segi dasar negara, lanskap politik dan sebagainya. Contohnya, untuk berdekad-dekad rakyat ditakut-takutkan dengan 13 Mei menjelang pilihan raya  menjadi salah satu punca mengapa pertukaran kerajaan persekutuan hanya berlaku selepas 61 tahun Barisan Nasional (Perikatan) berkuasa.

Dari segi mikro, ia menjadi igauan kepada keluarga mangsa. Mereka tidak tahu kebenaran, menanggung penderitaan setelah kehilangan orang tersayang dalam rusuhan tersebut. Mereka tersepit dalam dilema  antara mengenang dengan melupakan. Sememangnya kenangan pahit akan menusuk hati. Namun pada masa yang sama, mereka takut seandainya mereka pun memilih untuk melupakan, maka tiada orang lagi yang mengingati mereka yang dimangsakan.

Tidak kurang yang bertanggapan bahawa apa yang berlaku, biarlah berlalu. Mengungkit kisah lama diumpamakan mengusik luka yang sudah menjadi parut. Apa yang dibimbangkan, rasa dendam dan benci dicungkil semula, dan tidak mendatangkan manfaat tatkala kita mengorak langkah ke depan.

Kita terpaksa mengaku bahawa mereka yang melalui sejarah hitam ini, mempunyai versi masing-masing  bergantung kepada pengalaman sendiri. Perasaan mereka, sama ada dipendamkan atau diluahkan, lahir daripada pengalaman yang dilaluinya. Sesungguhnya ia tidak memberi gambaran sepenuhnya tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Jauh lagi ia mendedahkan punca sebenarnya di sebalik tabir, yang menjurus kepada tragedi tersebut.

Tanggal 13 Mei pada tahun ini agak istimewa, kerana ia adalah ulangahun ke-50 peristiwa ini berlaku. Kebetulan tanggal ini dekat dengan tarikh 9 Mei, yang menandakan setahun selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU14. Dengan suasana politik yang berbeza dari dahulu, maka sesetengah mangsa atau keluarga mangsa yang masih hidup, memilih untuk mengisahkan pengalaman mereka.

Portal Online, Malaysiakini telah membuat siri laporan dan wawancara bertemakan tragedi 13 Mei. Barangkali watak yang berjaya ditemubual wartawan lebih kepada yang berketurunan Cina, ia mengundang pertikaian sesetengah pihak, bahawa Malaysiakini sengaja menampilkan Cina sebagai mangsa, dan Melayu sebagai pembuli. Lebih-lebih lagi, ada yang mempertikaikan motif laporan Malaysiakini, kononnya cuba memutar-belitkan sejarah dan mencetuskan perbalahan antara kaum.

Saya agak yakin bahawa itu bukan motif Malaysiakini, juga beberapa pertubuhan yang menganjurkan program untuk membincangkan peristiwa ini. Kita perlu mengambil kira faktor bahawa banyak lagi maklumat yang dirahsiakan sehingga hari ini, mengundang syak-wasangka yang negatif. Misalnya bilangan mangsa yang terbunuh  angka rasmi mencatatkan seratus lebih, tetapi ada kajian akademik yang tampil dengan angka seribu lebih. Ralatnya terlalu besar. Kita semua terpanggil untuk mencari kebenaran  apa yang berlaku sebenarnya?

Justeru itu, untuk memperbetulkan apa yang salah, kerajaan seharusnya mendedahkan maklumat sebenar yang diklasifikasikan sebagai rahsia untuk sekian lama. Kita yakin mangsanya bukan berasal dari satu golongan etnik tertentu sahaja, tetapi semua etnik di Malaysia menjadi mangsa jikalau rusuhan kaum berlaku. Semua yang menderita berkelayakan untuk meluahkan perasaan mereka dan menceritakan pengalaman mereka, agar generasi muda Malaysia hari ini mengambil iktibar daripada sejarah.

Mengimbas sejarah tidak bermaksud kita mundur ke belakang, dan tidak mahu mara ke depan. Padahal sejarah menyedarkan kita di mana kita berada, mengapa kita sebegini dan bukan sebegitu. Paling penting, sejarah juga menyedarkan kita ke mana kita pergi pada masa depan.

Kita memerlukan pendamaian. Mencari kebenaran bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk kita tahu bagaimana tragedi yang sama boleh dielakkan pada masa depan. Kita telah ditakdirkan untuk hidup bersama di atas bumi yang tercinta ini, dan mustahil dipisahkan 50 tahun akan datang.

Dua tahun lalu saya sempat melawat ke tapak perkuburan mangsa peristiwa 13 Mei, bersebelahan Masjid Ibnu Sina, Sungai Buloh. Mayat-mayat dengan warna kulit yang berbeza ditanam di situ pada setengah abad yang lalu. Hati saya amat berat pada pagi itu, dan hanya sempat mencatatkan luahan hati: Biar kita hidup bersama untuk melawan perkauman agar tiada lagi yang mati bersama kerana perkauman.