AMANAH perlu ‘move on’

AMANAH perlu ‘move on’

Dalam keuzurannya sejak sekian lama, Ahmad Lutfi Othman terpaksa korbankan banyak hal yang menjadi minatnya. Banyak buku baru yang dibeli gagal ditelaah kerana mata yang kabur. Kerap juga dia ‘menghampakan’ para peminat yang ternanti-nanti artikel terbarunya kerana keterbatasan upayanya mengarang.

Banyak program wacana yang bermanfaat yang selalu menjadi kesempatan untuk dia bertemu rakan-rakan media gagal diikuti. Mujurlah ada FB Live, setidak-tidaknya minatnya menekuni perkembangan politik semasa boleh diteruskan.

Minatnya turun ke negeri-negeri seperti ketika menjadi Ketua Pengarang Harakah, untuk bertemu pemimpin kawasan, berkongsi pandangan dan bersembang dengan ahli-ahli biasa yang kemudiannya dirumuskan dalam penulisannya juga terhenti.

Hampir semuanya terhenti dan berganti dengan rutin beliau mendapatkan rawatan dialisis setiap minggu. Semua ini cukup mengecewakan Lutfi sendiri. Begitulah yang selalu beliau keluhkan setiap kali bertemu mata.

Tetapi di celah-celah kekurangan dan kelemahan ini, satu hal yang masih kuat membara dan senantiasa disegarkan dalam perbualan ketika menziarahinya adalah tentang semangatnya sebagai penerbit dan wartawan untuk terus menghasilkan buku.

Walaupun dia tahu industri penerbitan menghadapi iklim yang suram tetapi dia kekal ‘degil’ yang tiada ubatnya. Bukan dia tidak tahu trend buku politik sekarang bukan seperti zaman kegemilangan dia dulu. Buku politik sekarang berdepan saingan sengit dan selalu ketinggalan dengan media sosial.

Ahmad Lutfi dengan buku beliau yang baru diterbitkan.

Rupanya semua situasi itu langsung tidak diendahkan. Fikiran Lutfi sentiasa menghidu peluang untuk memastikan buku kendaliannya masih boleh ditawarkan kepada pembaca. Maka sesuai dengan kewujudan Parti AMANAH Negara yang masih muda mendaki medan politik nasional sebagai parti politik bernuansa Islam, Lutfi pantas menyedari bahawa parti baharu ini masih belum disusun babak kewujudannya secara komprehensif dan teratur. Maka, atas perancangan yang singkat dan agak tergesa-gesa, lahirlah buku Parti AMANAH Negara dengan subtopik yang panjang dan luas; Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.

Sudah tentu, jika dinilai pada keseluruhan isi, buku ini terlalu jauh untuk dianggap sempurna dan memenuhi piawaian akademi. Tetapi sesuailah tahap buku ini dengan AMANAH sendiri yang juga masih baharu (ditubuhkan pada 16 September 2015) dan belum terbukti kemampuannya menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai ukuran penting kepada pengaruhnya dalam kalangan masyarakat.

Walau bagaimanapun, buku ini masih menawarkan sesuatu yang cukup menarik untuk dibaca. Dalam kekurangannya, buku ini juga sebenarnya turut menawarkan ‘jalan pintas’ sebagai bahan rujukan yang agak baik dan terkini kepada para peminat dan pengkaji politik Islam tanah air meliputi persoalan sejarah, polemik, pembentukan dan perubahan ideologi serta agendanya menjadi parti masa depan.

Selain itu tidak boleh dielakkan juga sekiranya buku ini berpotensi menimbulkan satu polemik baharu pula selepas ini khususnya jika pembaca meneliti dan membanding idea-idea yang dibentangkan beberapa pemimpin AMANAH seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan sebagainya yang cukup terkenal kerana kelantangan dan keberanian mencetuskan idea-idea yang bukan sahaja progresif tetapi juga provokatif.

Tetapi kerencaman pemikiran yang diketengahkan melalui siri wawancara dan penulisan beberapa pemimpin dan penulis jemputan yang diundang oleh Lutfi sebenarnya mendedahkan ciri-ciri keterbukaan AMANAH untuk mendengar pandangan serta kritikan yang pedas daripada pelbagai pihak. Konsep menarik yang diketengahkan seperti ini wajar dianggap sebagai satu bentuk ‘latihan intelektual’ untuk para pembaca khususnya pemimpin dan ahli AMANAH bagi menghadapi polemik, persepsi, tohmahan serta kutukan yang berpanjangan.

Permulaan latihan intelektual seperti ini sebenarnya bagus memandangkan AMANAH dilahirkan di tengah-tengah ketidaktentuan tentang hala tuju sebenar gerakan Islam. Wacana-wacana Harakiyyah juga semakin menerima cabaran intelektual dalam kalangan ahli akademi. Kemunculan istilah ‘Pos-Islamisme’ juga sesuatu yang menarik kerana menampilkan satu peralihan idea dan agenda sesetengah gerakan Islam. Jika sekularisme yang dahulunya cukup menakutkan, kini mula diberi penilaian semula.

Malah terdapat sesetengah pendokong gerakan politik Islam sudah tidak ragu-ragu untuk bersetuju dengan sekularisme demi memelihara kemurniaan Islam daripada dirosakkan oleh anggota gerakan Islam yang bertindak barbarik di atas nama Islam sama ada melalui senjata seperti Daesh atau melabel pihak yang berseteru sebagai ‘kafir, munafik, liberal, pakatan Ahzab’ dan sebagainya. Secara umumnya, situasi ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga seluruh Malaysia.

Lutfi juga sedar dan senantiasa berhadapan dengan hal ini. Beliau sendiri melalui akaun Facebooknya, bertali arus menerima kutukan berterusan bahkan kebanyakannya oleh individu yang dahulunya mengaku ‘walaun’ kepada penulisannya hanya kerana membangkitkan persoalan tentang kepimpinan Pas hari ini.

Tohmahan yang tidak semena-mena kepada AMANAH termasuklah dari pemimpin pusat Pas yang menuduh AMANAH sebagai ‘jemaah Dhirar’, ‘dibiayai CIA’, ‘agenda RAND Corporation’ dan sebagainya diambil perhatian oleh Lutfi. Lutfi melihat ini sebagai perkembangan mengecewakan dengan menilai corak pemikiran baharu pendokong baharu Pas yang kebanyakannya anak-anak muda yang mudah dibakar emosi ‘jihad’ dan pemimpin yang terkepung dalam halusinasi ciptaan sendiri.

Dalam meneliti permasalahan pemikiran politik Islam yang cukup kompleks ini, Lutfi yang bertindak sebagai pengendali penerbitan buku AMANAH ini cukup memahami keperluan untuk menyediakan anggota AMANAH dengan bahan bacaan yang mampu menguji daya fikir.

Pendekatan ini juga sebagai langkah membina pemikiran baharu parti politik Islam AMANAH yang bercita-cita ke arah ‘Muslim Demokrat’ bertunjangkan perwatakan progresif, berdaya tahan menghadapi fitnah dan tohmahan dan paling penting memenuhi slogan ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Dalam beberapa keadaan, persoalan penting yang perlu dipersoal juga sejauh mana kemampuan AMANAH untuk tampil sebagai parti Islam yang progresif? Apakah ukuran progresif yang mahu dijadikan ukuran? Ke mana pula hala tuju progresif yang mahu dibawa?

Adakah progresif yang dibayangkan sekadar kemampuan menyertai secara aktif perbahasan di Parlimen bagi membuktikan kepada rakyat di luar sana bahawa ‘kami sedang bersuara’? Sejauh mana pula AMANAH sudah menyantuni atau menekuni permasalahan lain yang berlaku seperti soal alam sekitar, Revolusi Industri 4.0, bahkan apakah pendekatan yang akan diambil oleh AMANAH dalam mendepani isu-isu kontroversi seperti LGBT yang sering berkeras hak kewujudannya berdasarkan kepada hak asasi manusia yang perlu dihormati?

Agak menarik persoalan yang dibangkitkan oleh penulis Adam Adli Abdul Halim menerusi artikel berjudul ‘Tidak mudah menjadi progresif’, beliau secara terbuka mempersoalkan keadaan AMNAH ketika ini yang dilihat semakin lesu.

Seperti kebanyakan pihak lain, apa yang dibimbangi, untuk beberapa tahun selepas ini, AMANAH masih bermain dalam lingkungan yang sama dan mengumandangkan lagu lama. Hakikatnya, AMANAH sekarang sekadar tampil berbeza dengan Pas sahaja tanpa mampu menjelaskan dan menghidupkan ciri-ciri ‘generasi politikal Islam kedua’ yang dilaung-laungkan. AMANAH sekadar menjelaskan hudud yang menjadi nyawa Pas bukan satu keutamaan tetapi pada masa yang sama, AMANAH pula gagal menunjukkan keutamaan yang lebih utama ketika ini.

Melekatkan imej AMANAH dengan Parti AKP pimpinan Erdogan yang mana dalam masa yang relatif singkat berjaya menonjolkan diri sebagai penguasa sahaja tidak cukup. Memetik pandangan Rashid Ghannoushi, Jasser Auda serta cetusan-cetusan idea berdasarkan Maqasid Syariah sahaja juga tidak cukup.

Lebih malang, selepas beberapa tahun terdiri, AMANAH masih cuba keras berpaut dengan imej almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika tidak keberatan disebut, dalam siri perbualan dalam kereta, di rumah dan ketika menjamu selera di restoran, Lutfi sendiri mempunyai pandangan yang agak kontradik dengan kefahaman pendokong AMANAH. Lutfi secara berulang kali berhujah tentang watak Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang dikatakan lebih demokratik berbanding Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Banyak pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, jika dibentangkan semula pada hari ini, boleh menjadi kritikan pedas oleh pelbagai pihak.

Tetapi begitulah AMANAH yang ada pada hari ini, masih gagal membentuk ideolog tersendiri. Terikat dengan peribadi tokoh pemimpin Pas tanpa berani meninjau pandangan mereka yang cukup bertentangan dengan gaya aliran AMANAH ketika ini. Kira-kiranya begitulah ulasan jujur yang boleh dibentangkan jika buku ini habis diteliti terutama dalam wawancara bersama pemimpin AMANAH ketika ini.

Lutfi sedang melakukan sesuatu yang tidak sempat difikir dan dilakukan oleh golongan aktif dalam AMANAH itu sendiri. Maka usaha penting menerbitkan buku awal tentang AMANAH ini tidak boleh dipandang rendah. Seperti yang disebut oleh intelektual awam, Faisal Tehrani, Lutfi adalah wartawan-kapital. Selamanya begitulah Ahmad Lutfi Othman. Dan AMANAH harus berterima kasih dengan usaha yang dihidupkannya ini.

Bagi yang berminat untuk memiliki buku ini, boleh hubungi Luqman Hakim 0192903291